My Add

Thursday 5 July 2012

RM3.5 juta untuk penyediaan bilik media SUKMA Pahang

KUANTAN, KHAMIS, 05 Julai, 2012:: Sebanyak RM3.5 juta diperuntukkan kepada Bilik Media Sukan Malaysia (SUKMA) bagi memberi keselesaan kepada petugas media membuat liputan secara meluas ketika temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-15. 

Ketua Eksekutif Sekretariat SUKMA Pahang Ahmad Hairi Hussain berkata, bilik media itu dibahagi kepada dua iaitu untuk media cetak dan media elektronik. "Kami berharap dengan kewujudan bilik berkenaan akan dapat membantu pihak media yang dianggar lebih 500 petugas daripada pelbagai agensi menyediakan liputan terbaik pada temasya kali ini," katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian Bilik Media SUKMA di sini, hari ini. 

Perasmian dilakukan Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Teknologi, Sains dan Inovasi Pahang Datuk Mohd Sharkar Shamsudin merangkap Pengerusi Jawatankuasa Promosi, Publisiti dan Siaraya Sukma Pahang. 

Sementara itu, Mohd Sharkar berkata, beliau amat berpuas hati dengan kemudahan yang disediakan untuk pihak media membuat liputan acara SUKMA. 

"Masing-masing mempunyai konti dan tv yang disediakan tempat masing-masing dalam usaha untuk membuat liputan yang meluas," katanya. 

Beliau berkata, menerusi liputan yang disediakan nanti diharap akan memberi impak yang besar untuk rakyat di seluruh negara merasai keberlangsungan acara sukan itu. 

Sementara itu, Pengarah Jabatan Penyiaran (RTM) Pahang, Mustafa Kamal Abdul Razak berkata, RTM sebagai media rasmi kejohanan akan memberi liputan meluas pada temasya sukan dwitahunan itu. 

"Untuk mencapai liputan yang meluas RTM juga akan menyediakan 19 stesen radio dari seluruh negara dalam pelbagai bahasa antaranya Inggeris, Tamil, Cina dan Orang Asli untuk membuat liputan secara langsung dari bilik media yang telah disediakan," katanya. 

Selain itu, RTM juga dijadual menyiar perkembangan terkini kira-kira 10 minit dalam program Selamat Pagi Malaysia mengenai keberlangsungan temasya berkenaan dan turut membuat beberapa lintas langsung setiap hari pada 10.30 pagi hingga 12 tengah hari disusuli 2 hingga 5 petang dan 12 hingga 12.30 tengah malam. 

Majlis perasmian pada 7 Julai oleh Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah dan majlis penutup yang dijadual dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 16 Julai akan disiarkan secara langsung menerusi TV1. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment