My Add

Saturday 14 July 2012

Rujuk imam, mufti elak terbabit ajaran sesat: Jamil Khir

GURUN, JUMAAT, 13 Julai, 2012: Umat Islam negara ini perlu merujuk kepada imam dan mufti di negeri masing-masing berhubung isu berkaitan agama bagi mengelak terbabit dan menjadi pengikut ajaran sesat, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Beliau berkata, ini kerana ada masyarakat lebih suka merujuk hal berkaitan Islam kepada orang yang kononnya mempunyai ilmu luas tentang Islam tetapi sebenarnya mengamalkan ajaran sesat. 

Katanya, ini menyebabkan ada segelintir menjadi taksub seperti isu seorang lelaki menggelarkan dirinya 'Imam Mahadi' yang menggunakan pedang samurai mengamuk di pekarangan Kompleks Jabatan Perdana Menteri (JPM) Putrajaya pada Isnin lalu. 

"Kita perlu lihat ciri-ciri orang itu dulu (lelaki yang mendakwa sebagai Imam Mahadi). 

"Soal pelantikan Imam Mahadi bukan daripada pengakuan individu tetapi ia ketentuan daripada Allah," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan Surau Kampung Paya Mengkuang dekat sini, hari ini.

Jamil Khir berkata, beliau juga bimbang kerana golongan berpendidikan agama tinggi turut boleh terperangkap dalam ajaran sesat yang membawa kepada kekarutan dan perkara itu perlu disedari masyarakat Islam hari ini.

Katanya, walaupun pengikut lelaki terbabit iaitu Khalil Afandi Abdul Hamid hanya seorang tetapi kesannya besar dan jika tidak disekat daripada awal, mungkin berlaku dengan lebih dahsyat jika membabitkan penggunaan senjata api. 

Beliau berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menubuhkan sebuah jawatankuasa memerangi ajaran sesat di peringkat negeri baru-baru ini, dalam usaha memerangi isu ajaran sesat yang berlaku secara mengejut.

Katanya, jawatankuasa itu dianggotai Jabatan Agama Islam negeri, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen dan badan bukan kerajaan (NGO).

Surau Kampung Paya Mengkuang yang bernilai RM100,000 akan dapat dimanfaatkan
lebih 1,000 penduduk kampung itu.

Surau yang siap sepenuhnya pada Januari lalu dibina menerusi peruntukan Pejabat Pembangunan Persekutuan (ICU) Negeri Kedah dan akan dapat digunakan penduduk kampung tersebut menjalankan aktiviti sempena bulan Ramadan tidak lama lagi- BERNAMA

No comments:

Post a Comment