My Add

Wednesday 25 July 2012

Selangor sedia dokumen, pasukan sertai SYABAS

SHAH ALAM, RABU, 25 Julai, 2012: Kerajaan Negeri Selangor sudah menyediakan dokumen perlu untuk campur tangan dalam pengurusan Syarikat Bekalan Air Sdn Bhd (SYABAS) bagi tujuan memperbaiki apa yang didakwa kelemahan di dalam pengurusan syarikat pengedar air terawat di Lembah Klang itu.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata sebuah pasukan yang mewakili kerajaan negeri bagi tujuan itu juga sudah disediakan untuk menyertai SYABAS pada bila-bila masa sahaja.

Bercakap pada sidang media di sini hari ini selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri, katanya langkah itu diambil berikutan laporan Jawatankuasa Pemantau Air terhadap operasi SYABAS sejak 18 Julai lalu mendapati SYABAS gagal memenuhi tanggungjawab untuk membekalkan air terawat yang secukupnya kepada pengguna seperti yang dipersetujui dalam Perjanjian Penswastaan Air 2004. 

Jawatankuasa Pemantauan Air itu dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Muhammad Khusrin Munawi, dan dianggotai pegawai daripada Unit Perancang Ekonomi Negeri, Konsortium ABBAS dan bekas kakitangan Perbadanan Urus Air Selangor.

Abdul Khalid berkata, laporan pertama jawatankuasa itu yang diterimanya hari ini, mendapati keupayaan pengeluaran semua 34 loji rawatan air di Selangor ialah 4,807 juta liter sehari (JLH) berbanding dengan keupayaan agihan SYABAS 4,371 juta liter sehari iaitu terdapat lebihan sebanyak 436 JLH.

Ini bermaksud SYABAS beroperasi di bawah keupayaan sebenar, katanya.

Beliau berkata: "Projek Mitigasi I yang sudah dilaksanakan dan dijangka siap sepenuhnya Mac 2013 akan meningkatkan pengeluaran kepada 5,139 JLH atau lebihan 768 JLH berbanding keupayaan agihan SYABAS
".
Abdul Khalid mendakwa fakta peratusan rizab air sebanyak 2 peratus yang dilaporkan SYABAS tidak tepat dan rizab kapasiti pengeluaran sebenar air terawat pada masa ini adalah 11 peratus dan akan meningkat kepada 18 peratus selepas Mac 2013 apabila projek Mitigasi I siap sepenuhnya.

Laporan akhbar sebelum ini menyebut paras rizab air terawat di Selangor pada kadar 2.4 peratus di mana ia sepatutnya berada pada tahap 20 peratus.

Abdul Khalid berkata. ketidakupayaan SYABAS untuk menjalankan tanggungjawabnya telah menguatkan lagi rancangan kerajaan negeri untuk campur tangan di dalam pentadbiran syarikat itu.

Beliau juga berkata kerajaan negeri sudah memutuskan supaya kuasa melulus sebarang permohonan berkaitan pelaksanaan Projek Loji Rawatan Air Langat 2 (Langat 2) hendaklah dibawa terus kepada pihak berkuasa negeri.

"Semua agensi kerajaan seperti Pejabat Tanah Daerah, Pihak Berkuasa Tempatan, Jabatan Hutan, Jabatan Pengairan dan Saliran, Lembaga Urus Air Selangor, Jabatan Alam Sekitar dan lain-lain agensi yang berkaitan untuk merujuk terus sebarang permohonan berkenaan Projek Langat 2 kepada Datuk Menteri Besar," katanya.

Ditanya mengenai kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, bahawa Kerajaan Persekutuan akan mengeluarkan tender projek Langat 2, Abdul Khalid berkata kerajaan negeri tidak akan campur tangan urusan Kerajaan Persekutuan.

Kepada soalan sama ada kerajaan negeri akan mengeluarkan "development order" untuk projek Langat 2, beliau berkata: "Saya akan buat keputusan dari masa ke semasa."

Abdul Khalid juga berkata, orang ramai boleh mengemukakan aduan mengenai masalah air menerusi talian 1-800-88-2824 yang juga talian sama bagi aduan sampah. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment