My Add

Saturday 14 July 2012

Wujud penyelewengan dalam projek perumahan di Sekinchan

TANJONG KARANG, JUMAAT, 13 Julai, 2012: Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Seri Noh Omar, hari ini mendakwa berlaku penyelewengan dalam dua projek perumahan di Sekinchan di sini, termasuk melanggar dasar yang ditetapkan pihak berkuasa. 

Beliau berkata, projek Kondominium Sekinchan Perdana di sini dibina tidak mengikut dasar Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (JPBD) yang menetapkan setiap pembinaan di atas 0.4 hektar tanah hanya boleh membabitkan 60 unit rumah. 

"Malah mengikut dasar itu, rumah yang dibina tidak boleh melebihi 12 tingkat," katanya pada sidang media selepas melancarkan dua produk Agrobank Paddy-i dan Paddy Cash-i di sini hari ini.

Noh yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, mendakwa pembinaan kondominium itu membabitkan 94 unit rumah dengan ketinggian 18 tingkat jelas tidak mengikut dasar yang ditetapkan JPBD. 

Beliau turut mempersoalkan penjualan 24 unit rumah di Pangsapuri Damai di Taman Sekinchan Damai yang sepatutnya diperuntukkan kepada Majlis Daerah Sabak Bernam tetapi dijual kepada sebuah syarikat swasta. 

"Saya bertanya dan saya harapkan jawapan. Ini bukan tuduhan tetapi pertanyaan yang memerlukan penjelasan," kata Noh yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor. 

Noh berkata Ahli Dewan Undangan Negeri Sekinchan, Ng Sue Lim, perlu memberi penjelasan mengenai perkara itu memandangkan projek berkenaan berada dalam kawasannya. 

Katanya, perkara itu juga sepatutnya dibawa ke Jawatankuasa Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (SELCAT) sekiranya kerajaan negeri benar-benar mengutamakan ketelusan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment