My Add

Friday 28 September 2012

Pemeriksaan mamogram percuma bagi wanita 40 tahun ke atas: PM

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 28 September, 2012: Wanita berusia 40 tahun ke atas kini boleh menikmati pemeriksaan mamogram percuma, demikian diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Katanya, sebanyak RM25,000 diperuntuk bagi tujuan berkenaan yang dianggarkan memberi faedah kepada kira-kira 100,000 wanita. 

Ketika membentangkan Belanjawan 2013 di Dewan Rakyat hari ini, Najib berkata, insentif berkenaan termasuk di bawah peruntukan keseluruhan berjumlah RM50 juta bagi memperkasa peranan wanita dalam pembentukan keluarga bahagia dan pembangunan ekonomi negara.

Antara insentif lain, melatih 500 wanita di bawah Program Pengarah Wanita untuk diketengahkan sebagai ahli lembaga pengarah syarikat, dan mempertingkat program Inkubator Keusahawanan Ibu Tunggal (I-KIT) untuk memberi khidmat nasihat dan latihan kepada ibu tunggal dalam bidang keusahawanan.

Beliau berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan mengagihkan peruntukan berjumlah RM50 juta dalam bentuk geran RM1,000 kepada 50 usahawan kecil terutama wanita untuk meningkatkan jualan dalam talian melalui program Get Malaysian Business Online (GMBO).

"Program Kebajikan Rakyat 1Malaysia (KAR1SMA) di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan diperuntuk sebanyak RM1.2 bilion meliputi program bantuan warga emas, bantuan kanak-kanak, elaun pekerja orang kurang upaya serta bantuan penyakit kronik," katanya.

Najib berkata, kerajaan juga memperuntuk RM400 juta di bawah program 1Azam yang dijangka memberi manfaat kepada 58,330 individu berpendapatan rendah.
Bagi membantu golongan warga emas atau kanak-kanak jalanan dan golongan gelandangan, sebanyak enam buah Anjung Singgah akan diwujudkan sebagai tambahan kepada dua yang sedia ada.

"Kerajaan juga akan menyediakan lima buah Anjung Kasih di Hospital Sibu, Miri, Temerloh, Seremban dan Ipoh bagi menyediakan tempat penginapan sementara dan selesa kepada pesakit miskin atau anggota keluarga yang mengiringi pesakit yang sedang menerima rawatan di hospital kerajaan," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment