My Add

Friday, 28 September 2012

Rakyat terus dapat pembelaan: Bajet 2013

Oleh Zef Othman dan Nora Mahpar
KUALA LUMPUR, JUMAAT, 28 September, 2012: Bajet 2013 memberi tumpuan kepada pembangunan negara menerusi pertumbuhan ekonomi yang mampan selain memastikan rakyat terus mendapat pembelaan.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, agenda pembangunan negara perlu diteruskan dalam Bajet 2013 ketika ekonomi dunia sedang bergolak. 

"Pembangunan negara adalah satu perkara yang amat penting dalam keadaan ekonomi dunia sedang bergolak. Ia membuktikan kita mampu melaksanakannya dan pada masa sama memenuhi keperluan rakyat," katanya ketika ditemui BH Online di pekarangan bangunan Dewan Negara di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas Bajet 2013 yang dibentangkan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Razak di sini, petang tadi.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein pula berkata, pendekatan Bajet 2013 adalah membanggakan selain kementeriannya turut menikmati peruntukan tambahan.

Malah, katanya, buat pertama kali penambahan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) diumumkan dalam pembentangan bajet sekali gus disifatkan sebagai satu pengiktirafan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN).

"Dengan peruntukan tambahan yang diumumkan menerusi Bajet 2013, ia mampu menyumbang kepada peningkatan prestasi KDN," katanya.
Mengulas peruntukan untuk sektor pertanian, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar berkata, ia adalah bajet terbaik dengan mengambil kira keperluan semua golongan.

"Tiada golongan yang tercicir dan rakyat boleh menilai bagaimana kerajaan terus memberikan pembelaan kepada rakyat," katanya.

Sementara itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, Bajet 2013 mempunyai rancangan yang mantap bagi menurunkan defisit negara yang menjadi isu sejak akhir-akhir ini.

"Ini dapat memastikan kadar pertumbuhan ekonomi negara terus berkembang iaitu dari 4.5 peratus hingga lima peratus dan ia adalah satu angka yang agak baik memandangkan keadaan ekonomi dunia yang agak mencabar," katanya.

Malah, beliau mewakili Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) mengucapkan terima kasih kerana bajet kali ini yang menyediakan peruntukan sebanyak RM1 bilion melalui SME Bank kerana satu isu yang dialami golongan ini adalah kesukaran untuk membuat pinjaman.

"Saya berharap, peruntukan yang disediakan ini memudahkan industri PKS mendapatkan pinjaman daripada institusi pinjaman sekali gus memajukan perkembangan ekonomi negara," katanya.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, peruntukan yang disediakan adalah yang terbanyak berbanding tahun sebelumnya dan ia sudah pasti memudahkan pihaknya mempersiapkan kontinjen bagi menghadapi Sukan Olimpik 2016.

"Sebenarnya, ia di luar dugaan sama sekali. Ini jelas menunjukkan betapa serius dan dekatnya hati Perdana Menteri kepada bidang sukan.

"Beliau faham sukan bukan sekadar mendapat pingat malah ia sebagai medium untuk atlit khususnya golongan belia meningkatkan semangat dan berusaha bersungguh-sungguh untuk mengharumkan nama negara," katanya. - BH

No comments:

Post a Comment