My Add

Friday 28 September 2012

RM276 juta kepada SPRM untuk banteras jenayah

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 28 September, 2012: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menerima peruntukan sebanyak RM276 juta bagi menjayakan peranannya dalam membanteras rasuah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika mengumumkannya berkata, kerajaan juga bersetuju menambah sebanyak 150 perjawatan tambahan setiap tahun sehingga mencapai jumlah 5,000 anggota yang disasarkan suruhanjaya itu.

"Langkah ini diharap akan dapat menyokong usaha kerajaan memperbaiki kedudukan negara dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI)," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2013 di Dewan Rakyat hari ini.

Bagi tahun ketiga berturut-turut, Malaysia menunjukkan kemelesetan pada skor CPInya di mana skor 4.3 bagi 2011 menurun sedikit dari 4.4 yang direkodkan tahun lepas dan ketara rendah dari tandaras kerajaan 4.9.

Keadaan itu menyebabkan ranking Malaysia turut merosot ke kedudukan ke-60 (dari kalangan 183 negara) dari kedudukan ke-56 tahun lepas.

Sementara itu, kerajaan akan menambah RM20 juta kepada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) bagi memastikan setiap individu tidak berkemampuan yang didakwa di mahkamah diberi bantuan guaman secara percuma.

Perdana Menteri berkata, peruntukan itu membuktikan bahawa kerajaan komited untuk memastikan setiap rakyat yang dituduh di mahkamah mempunyai pembelaan sesuai dengan hak mereka yang dijamin oleh Perlembagaan. 

Najib ketika melancarkan yayasan itu Februari tahun lepas memberi geran pelancaran sebanyak RM5 juta dan menambah RM10 juta lagi pada Belanjawan 2012 sebagai tanda sokongan padu kerajaan untuk membiayai perjalanan yayasan bagi menegakkan keadilan dan menjamin hak yang sama rata di sisi undang-undang kepada seluruh rakyat Malaysia.

Yayasan itu mengandungi 12 anggota lembaga pengarah dipengerusikan oleh Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment