My Add

Saturday 13 October 2012

1,200 sertai Gerek-Ton Kastam Kedah

ALOR SETAR, SABTU, 13 Oktober, 2012: Seramai 1,200 peserta, termasuk dari Indonesia, Thailand dan Singapura, mengambil bahagian dalam acara berbasikal Karnival Gerek-Ton Kastam Kedah 2012 di Kompleks Kastam Kedah.

Acara yang bermula pada kira-kira 8 pagi itu disempurnakan Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah Tan Sri Tunku Puteri Intan Shafinaz Tuanku Abdul Halim Mu”adzam Shah, yang turut berkenan untuk mengayuh basikal dalam acara ”Funride” bersama Ketua Pengarah Kastam Datuk Khazali Ahmad.

Turut mengambil bahagian Pegawai Tugas-Tugas Khas Perdana Menteri Datuk Latt Shariman Abdullah, yang juga Ketua Umno Bahagian Kuala Kedah, serta beberapa pemimpin Barisan Nasional (BN).

Kategori Terbuka Lelaki dimenangi pelumba basikal kebangsaan Anuar Manan, yang mewakili Team Giant, untuk membawa pulang wang tunai RM2,500 manakala Kategori Terbuka Wanita diungguli seorang lagi pelumba basikal kebangsaan Masziyaton Mohd Radzi, mewakili pasukan sama (RM1,500).

Kategori Veteran Lelaki dimenangi Noor Affendi Rosli manakala Kategori Fixie Kriterium Mohd Emir Shafiq Zainal.

Karnival itu bertujuan menggabung penglibatan pelbagai lapisan masyarakat dalam aktiviti sukan ke arah melahirkan jati diri yang tinggi, kental, berdaya saing serta sihat rohani dan jasmani, selain memperkenal Majlis Sukan dan Kebudayaan Kastam Kedah kepada rakyat bagi menjalin persahabatan serta memupuk semangat kekitaan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment