My Add

Friday 12 October 2012

195 sekolah agama berstatus SABK

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 11 Oktober, 2012: Kementerian Pelajaran telah menukar status 195 daripada 382 Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan Sekolah Agama Negeri (SAN) di seluruh negara kepada status Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) sejak 2005 hingga kini.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, kesemua SAR dan SAN yang telah mendaftar dengan kementerian itu bakal mendapat manfaat peruntukan RM100 juta melalui Bajet 2013 yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bulan lalu selain RM95 juta yang diterima pada Bajet 2011.

Sehubungan itu, kata beliau, tidak seharusnya timbul isu SAR atau SAN dianaktirikan oleh kerajaan seperti yang didakwa oleh pihak-pihak tertentu kerana kerajaan sentiasa membuka pintu kepada dua jenis sekolah itu untuk menjadi sekolah bantuan kerajaan.

"Isu sebenarnya adalah pihak Lembaga Pengurusan SAR dan SAN tidak mahu berdaftar di bawah SABK kerana bimbang kuasa mentadbir hilang berikutan rata-rata daripada mereka tidak mempunyai kelulusan bagi mentadbir sekolah.

"Ahli lembaga pengarah itu terdiri daripada pemilik asal sekolah sejak mula ditubuhkan. Jadi konsep yang mereka amalkan adalah warisan atau turun-temurun dan bukannya berdasarkan kepada kelayakan dalam pendidikan," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Beliau mengulas tindakan kira-kira 300 warga SAR dan SAN dari beberapa negeri dengan diketuai oleh Pengerusi Majlis Permuafakatan Institusi Pendidikan Islam Selangor (Mappis), Prof. Madya Zainal Abidin Kidam berdemonstrasi di hadapan bangunan Parlimen pagi ini bagi menuntut peruntukan daripada kerajaan melalui Bajet 2013.

Sambil menyatakan kerajaan sentiasa mengalu-alukan penukaran status SAR dan SAN kepada SABK, Mohd. Puad berkata, sekolah-sekolah di bawah SABK akan diberi geran berkapita, bantuan menaik taraf bangunan sekolah, latihan guru, guru-guru akan berjawatan tetap dan mempunyai pencen selain skim gaji yang lebih baik.

Beliau turut menolak dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan kerajaan menetapkan syarat ketat untuk mendaftar di bawah SABK dan menyifatkan itu hanya agenda politik pembangkang semata-mata.

"Kita mahu mereka berdaftar dengan SABK supaya sekolah mereka dimajukan, guru-guru mereka mendapat manfaat seperti guru-guru yang ada di Malaysia dan pendidikan pelajar lebih seimbang.

"Tetapi walaupun mereka telah berdaftar di bawah SABK, kerajaan tetap tidak mengganggu aspek kokurikulum mereka. SABK lebih kepada menjaga kebajikan warga sekolah," katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Ledang, Ir. Hamim Samuri berkata, dakwaan pihak tertentu bahawa kerajaan sengaja menganaktirikan SAR dan SAN melampau kerana berdasarkan laporan Kementerian Kewangan, para pelajar di kedua-dua jenis sekolah itu turut menerima RM100 seorang menerusi Bantuan Persekolahan yang diperuntukkan kerajaan Barisan Nasional (BN).

"Saya juga mempersoalkan tindakan SAR dan SAN yang menggunakan tenaga pelajar-pelajar untuk berdemonstrasi. Seharusnya pelajar-pelajar itu tidak berada di luar Parlimen bagi berdemonstrasi pagi ini. Tempat mereka di dalam bilik darjah," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment