My Add

Monday 8 October 2012

29 kampung bakal dibangun sebagai 'Kampung Abad 21'

KUALA LUMPUR: Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah sudah mengenal pasti 29 buah kampung yang sesuai untuk dibangun sebagai 'Kampung Abad 21' pada tahun depan menerusi peruntukan RM137 juta.

Menterinya, Datuk Seri Mohd Shafie Afdal berkata, pemilihan kampung yang terletak di Selangor, Sabah, Sarawak dan Kelantan itu dibuat berdasarkan kemampuan ekonomi dan pertanian serta aktiviti perkhidmatan seperti pelancongan.

Shafie yang ditemui selepas menghadiri mesyuarat penyelarasan antara Menteri dan Exco-exco Luar Bandar (Mexclub) di sini, hari ini juga, berkata sebanyak 214 medan info desa di seluruh negara akan dinaik taraf menjadi Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) mini atau dikenali Mini RTC pada tahun depan.

Katanya, meskipun Mini RTC itu tidak akan sebesar RTC yang terdapat di Melaka, Johor, Pahang, Sabah atau Sarawak, peranannya penting kerana ia dilengkapi pelbagai maklumat berkaitan perancangan, latihan dan kemahiran oleh agensi kerajaan kepada masyarakat luar bandar.

"Sebagai contoh, seorang anak kampung yang mempunyai sijil tetapi tidak bekerja boleh mengikuti latihan yang disediakan dan akan mempunyai akses kepada peluang pekerjaan, selain mempunyai akses kepada latihan yang disediakan oleh kementerian," katanya.

Sementara itu, Shafie, yang juga Anggota Parlimen Semporna, yakin Sabah akan kekal di bawah penguasaan Barisan Nasional (BN) dan menegaskan apa yang penting adalah untuk terus mendengar dan menyelesaikan aduan rakyat bagi menambat hati mereka.

Katanya, kutipan suara yang mendakwa sokongan rakyat kepada BN semakin menurun juga hanya pandangan segelintir individu yang bebas untuk mempunyai dan meluahkan pendirian dalam sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi. 

"Apa yang penting adalah untuk kita bekerja keras kerana pembangkang hanya boleh mengkritik, tetapi apa yang mereka benar-benar lakukan? Mereka ini hanya cukup hebat ketika mengkritik.

"Mereka mengkritik di Sabah tidak ada air, tetapi di negeri yang mereka perintah seperti Kelantan juga tidak mempunyai bekalan air," kata Naib Presiden UMNO itu sambil menambah rakyat yang mempunyai akses kepada maklumat boleh menilai dan membuat keputusan yang baik untuk kebaikan mereka. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment