My Add

Thursday 11 October 2012

31 penagih dan pengedar dadah di Kuala Sala ditahan

ALOR SETAR, KHAMIS, 11 Oktober, 2012: Polis menahan 31 penagih dadah termasuk dua orang yang turut menjadi pengedar dalam serbuan di sebuah rumah dan di tepi laut di Kuala Sala dekat sini, hari ini.

Operasi enam jam itu diketuai Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, Asisten Superintendan Muhammad Safuan Abd Rashid bermula 8.30 pagi hasil intipan selama dua minggu oleh polis.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd Jan, berkata pihaknya terlebih dulu menangkap dua pasangan adik beradik yang dipercayai menjadi pengedar dadah jenis heroin kepada penagih dadah di kawasan terbabit.

Katanya hasil serbuan di rumah suspek yang berumur 26 dan 30 tahun di Kuala Sala itu, polis menjumpai dadah jenis heroin kurang daripada dua gram dipercayai baki bekalan yang tinggal kerana yang lain dipercayai baru saja dijual.

"Operasi disertai seorang pegawai dan 13 anggota berjaya menahan 29 penagih dadah berumur antara 20 hingga 48 tahun di tepi laut di Kuala Sala dan dibawa ke IPD Kota Setar untuk tindakan lanjut," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Kuala Sala, hari ini.

Beliau berkata, dalam serbuan itu tiga orang dapat melarikan diri iaitu dua penagih dadah terjun ke laut dan dan seorang lagi melarikan diri melalui kawasan sawah padi.

Seramai 27 penagih akan didakwa mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1982, tiga lagi disiasat di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan seorang ditahan di bawah Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Polis turut menyita 20 motosikal dan dibawa ke Balai Polis Kota Sarang Semut untuk pemeriksaan lanjut. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment