My Add

Friday 12 October 2012

Bilik temu bual bervideo SPRM dibuat dalam tiga salinan
 

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 12 Oktober, 2012: Rakaman soal siasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di bilik temu bual bervideo atau 'Video Interview Room' (VIR) dibuat dalam tiga salinan, kata Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM Datuk Zakaria Jaaffar.

Beliau berkata, satu salinan rakaman akan disimpan saksi, satu salinan untuk kegunaan pegawai penyiasat dan satu lagi salinan sebagai dokumen yang akan dikemukakan di mahkamah.

Pendekatan itu mampu mencegah sebarang aktiviti suntingan atau manipulasi terhadap percakapan saksi yang dirakamkan, katanya.

Beliau berkata, VIR, satu bentuk kepakaran yang dibawa dari Hong Kong, mula digunakan SPRM sejak awal tahun ini bagi meningkatkan ketelusan dalam prosedur siasatan, sekaligus antara langkah mengelak kejadian kematian saksi 'secara misteri' selepas dipanggil untuk memberi keterangan.

"VIR merupakan satu bilik yang mempunyai satu meja dan boleh dilihat dari luar, yang menunjukkan SPRM telus dalam menjalankan tugas menyoal saksi," katanya ketika ditemui Bernama hari ini selepas menutup kursus eksekutif kanan bagi pengurusan strategik program anti rasuah di sini.

Beliau berkata, bilik siasatan itu juga mengambil dan mengaplikasi sepenuhnya kaedah yang sama yang digunakan Suruhanjaya Bebas Pencegahan Rasuah di Hong Kong.

Zakaria berkata, setakat ini kemudahan soal siasat menggunakan VIR hanya terdapat di ibu pejabat suruhanjaya itu di Putrajaya, Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) di Jalan Duta, Perak dan Melaka. 

"Bagi negeri-negeri lain, kita sedang melatih anggota dan pegawai dalam mengendalikan VIR dan dijangka penggunaannya dapat dimulakan dalam masa terdekat," katanya.

Semalam, SPRM dilaporkan berkata semua prosedur menyoal siasat saksi atau pemberi maklumat akan dikendalikan di aras bawah bangunan pejabat miliknya di bilik khas dilengkapi rakaman video antara langkah mengelak kejadian kematian saksi semasa proses siasatan di pejabat SPRM. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment