My Add

Wednesday 3 October 2012

Buruh didakwa miliki 129 burung Murai Batu yang dilindungi

KOTA TINGGI, RABU, 03 Oktober, 2012: Seorang buruh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini terhadap tiga pertuduhan memiliki 129 ekor Burung Murai Batu, spesies burung yang dilindungi di negara ini.

Abd Rahim Tahir, 48, dari Pasir Gudang, didakwa memiliki burung Murai Batu berkenaan iaitu 90 burung jantan, 25 burung betina and 14 ekor anak burung di perairan Teluk Ramunia, Pengerang di sini pada 11.15 pagi, 26 September lepas.
Burung terbabit atau nama saintifiknya Copsychus malabaricus adalah haiwan terlindung mengikut jadual pertama Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.

Bagi pertuduhan mengambil dan menyimpan 50 ekor burung Murai Batu jantan itu, Abd Rahim didakwa mengikut Seksyen 60(2), Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM50,000, penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Dia dituduh mengambil dan menyimpan 25 ekor burung Murai Batu betina mengikut Seksyen 62 akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan mengambil dan menyimpan burung Murai Batu yang tidak matang iaitu 14 anak burung itu, dia didakwa mengikut Seksyen 61 akta sama yang membawa hukuman denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.

Ketika ditanya Majistret Nor Shahid Ab Malik kenapa dia mempunyai jumlah burung yang banyak dalam simpanannya dan sama ada dia tahu burung itu adalah haiwan terlindung, Abd Rahim berkata dia tidak tahu burung itu adalah haiwan terlindung dan mendakwa dia menyimpannya untuk seorang kawan.

Nor Shahid yang kemudiannya menetapkan 10 Okt sebagai tarikh sebutan semula kes itu telah meminta Abd Rahim mendapatkan khidmat peguam bela bagi mewakilinya dan membenarkan dia diikat jamin RM15,000 untuk setiap pertuduhan.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Jabatan Perhilitan Johor Shamsul Hakim Ahmad. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment