My Add

Wednesday 24 October 2012

China dan Jepun disaran contohi Malaysia selesai pertikaian

KUALA LUMPUR, SELASA, 23 Oktober, 2012: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyarankan kepada China dan Jepun agar mencontohi Malaysia dalam menyelesaikan pertikaian antara kedua-dua negara berjiran itu.

"Jangan berkelahi dan jangan membunuh antara satu sama lain. Malah jika kamu menang, pihak satu lagi tidak akan mengalah. Bila mereka kuat kembali, mereka akan melawan balik," katanya.

Beliau berkata China dan Jepun perlu duduk dan berunding menyelesaikan perbezaan antara mereka.

"Ini cara terbaik untuk menyelesaikan konflik," katanya dalam ucaptama pada simposium "Dialog Antara Tamadun ke Arah Perdamaian, Keharmonian Kewujudan Bersama dan Kelestarian" di Universiti Malaya di sini hari ini.

Dr Mahathir berkata Jepun dan China adalah pengeluar barangan yang dipasar di serata dunia dan oleh itu jika berperang, ia akan membawa kesan negatif.

Katanya Malaysia sebelum ini membenarkan Mahkamah Keadilan Antarabangsa menyelesaikan pertikaian mengenai pulau dengan jirannya.

Kepada penggalak peperangan, beliau memberi amaran “jangan korbankan orang muda dengan memilih perang. Kita masih tidak bertamadun sekiranya kita fikir perang adalah pilihannya". Pertikaian China-Jepun melibatkan pulau-pulau di Laut China Timur.

Simposium dua hari tersebut dianjurkan oleh Pusat Dialog Peradaban Universiti Malaya (CCDUM) dan Japan's Institute of Oriental Philosophy (IOP) dengan kerjasama Soka Gakkai Malaysia dan Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional.

Dr Mahathir turut menyaksikan majlis menandatangani memorondum persefahaman antara CCDUM dan IOP untuk meningkatkan kerjasama antara mereka. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment