My Add

Friday 19 October 2012

Dr Mahathir bersyukur MILF, Kerajaan Filipina capai perdamaian
  
KUALA TERENGGANU, KHAMIS, 18 Oktober, 2012: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersyukur konflik lebih 40 tahun di antara kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) di wilayah selatan Filipina diselesaikan secara rundingan.

Beliau berkata sebagai manusia yang bertamadun, peperangan harus dielakkan dalam menyelesaikan pertikaian atau konflik.

"Saya bersyukur kerana akhirnya mereka dapat selesaikan pertikaian di selatan Filipina dengan cara rundingan dan Malaysia turut mengambil bahagian untuk memudahkan perjumpaan antara mereka.

"Saya mengucapkan tahniah kepada Bangsamoro dan kerajaan Filipina dan kerajaan Malaysia juga kerana dapat menyelesaikan pertikaian dan menghentikan peperangan yang (telah) melibatkan pembunuhan begitu ramai askar dan juga rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis Bicara Negarawan, Pemantapan Profesionalisme, Tranformasi Budaya Kerja dan Pentadbiran Pegawai-pegawai Tadbir Negeri Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu di Taman Tamadun Islam (TTI) di sini hari ini.

Pada Isnin lalu, kerajaan Filipina dan MILF telah menandatangani kerangka perjanjian damai secara rasmi bagi mengakhiri konflik lebih 40 tahun di wilayah selatan Filipina.

Malaysia menjadi pengantara perundingan damai antara kedua-dua pihak itu sejak 2001 sehingga perjanjian awal untuk perdamaian dicapai di Kuala Lumpur dalam rundingan dari 2 hingga 7 Oktober lalu. 

Sementara itu mengenai program Bicara Negarawan itu, Dr Mahathir berkata pegawai tadbir perlu berperanan sebagai ahli profesional dan tidak terlibat dengan politik secara langsung.

Katanya sebagai pentadbir, tugas mereka ialah menjalankan segala yang dirancang atau ditentukan oleh pemerintah.

"Dia (pentadbir) mesti rapat diri dengan rakyat, ambil tahu masalah rakyat kerana pentadbir sekarang tidak terhad kepada urusan pejabat saja, tetapi terlibat secara langsung dengan urusan untuk memajukan negara dan rakyat," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment