My Add

Friday 12 October 2012

Eksport PC seluruh dunia susut 8.3 peratus - Gartner

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 12 Oktober, 2012: Eksport komputer peribadi (PC) di seluruh dunia susut 8.3 peratus kepada 87.5 juta unit pada suku ketiga 2012, dengan pasaran kini bersedia untuk pelancaran Windows 8.

"Penurunan berterusan eksport PC pengguna memain peranan penting dalam penurunan pasaran PC secara berterusan," kata Penganalisis Prinsipal di Gartner Inc, Mikako Kitagawa dalam kenyataan.

Beliau berkata suku ketiga juga merupakan suku peralihan sebelum sistem operasi Windows 8 Microsoft dilancarkan.

"Eksport juga kurang cergas memandangkan vendor dan rakan saluran mengemas kini inventori.

"Peruncit agak konservatif membuat tempahan memandangkan sambutan lemah sempena balik ke sekolah. Pada akhir September, peruncit memberi tumpuan terhadap aktiviti menjual inventori menjelang pelancaran Windows 8 lewat bulan ini," katanya.

Gartner Inc, syarikat penyelidikan dan nasihat teknologi maklumat berkata Lenovo menduduki tangga teratas eksport PC di seluruh dunia buat kali pertama dalam sejarah syarikat itu, apabila penguasaannya meningkat kepada 15.7 peratus manakala penguasaan global HP sebanyak 15.5 peratus.

Di Asia Pasifik, eksport PC susut 5.6 peratus kepada 31.3 juta unit pada suku ketiga 2012 ekoran permintaan lemah, berikutan pembeli berkemungkinan memilih untuk tidak membeli atau menangguhkan pembelian.

Ekonomi China yang perlahan sangat dirasai di rantau ini pada suku ketiga, yang mencetuskan pendekatan yang lebih konservatif terhadap perbelanjaan.

Walaupun terdapat inisiatif PC oleh kerajaan di India dan China bagi memacu jualan PC, ia gagal mengimbangi pasaran yang secara umumnya lemah. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment