My Add

Friday 5 October 2012


Faktor kemanusiaan punca utama nahas babitkan kenderaan berat -PLUS


KUALA LUMPUR, JUMAAT, 05 Oktober, 2012: PLUS Malaysia Berhad mengenal pasti faktor kemanusiaan seperti tabiat memandu dan sikap pemandu sebagai punca utama kemalangan membabitkan kenderaan berat, termasuk lori dan bas, di lebuh raya.

Pengurus Besar Jabatan Keselamatan Trafiknya, Zakaria Shaffie berkata ini termasuk memandu terlalu laju, mengantuk, keletihan dan tidak menyelenggara kenderaan dengan baik.

Beliau berkata, berdasarkan rekod PLUS, tujuh peratus daripada jumlah kenderaan yang menggunakan rangkaian lebuh raya kendalian syarikat itu sejak 2007 hingga Ogos lepas ialah lori.

"Namun begitu, lori menyumbang 18.2 peratus daripada 52,585 kemalangan yang berlaku di lebuh raya PLUS dalam tempoh tersebut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zakaria berkata, bas pula menyumbang kira-kira 1.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kenderaan yang menggunakan lebuh raya PLUS bagi tempoh sama, dan menyumbang 2.2 peratus daripada jumlah keseluruhan kemalangan di lebuh raya itu.

Kenyataan itu juga menyebut kira-kira 4,000 pemandu kenderaan berat dan operator kenderaan mengikuti seminar keselamatan "Hormati Had Anda" sejak 2008 dalam usaha mendidik mereka yang terlibat berhubung kepentingan menghormati had fizikal masing-masing dan kemampuan pemandu serta kemampuan kenderaan yang dipandu. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment