My Add

Tuesday 9 October 2012

Geng 'Sek Taw' aktif curi kenderaan di Lembah Klang tumpas

 KUALA LUMPUR, SELASA, 09 Oktober, 2012: Polis menumpaskan "Geng Sek Taw" yang aktif mencuri kenderaan di sekitar Lembah Klang sejak tiga bulan lalu dengan tertangkapnya dua lelaki anggota kumpulan itu di Cheras dan Pandan Perdana di sini, Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh berkata, susulan penangkapan lelaki warga tempatan itu, polis menemui semula sembilan kenderaan pelbagai jenis dan peralatan pertukangan dipercayai digunakan untuk kegiatan pecah rumah. 

"Suspek berumur lingkungan 38 tahun itu kemudiannya membawa polis ke beberapa lokasi di kawasan terbabit, sekali gus membawa kepada penemuan kenderaan yang diletakkan di tepi jalan, parkir awam dan kawasan perumahan, dipercayai untuk dijual.

"Siasatan mendapati lapan jenis kenderaan terbabit dicuri di kawasan Lembah Klang dan sebuah di Pahang, dengan rampasan dianggarkan bernilai RM400,000," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini, hari ini.

Beliau berkata, kenderaan terbabit ialah dua Proton Waja serta masing-masing sebuah Proton Wira Aeroback, Kia Optima, Kia Caren, Naza Citra, Hyundai, Toyota Hillux dan Mitsubishi Lancer.

Mohan Singh berkata, dengan tertangkapnya dua lelaki berkenaan, polis percaya dapat menyelesaikan 21 kes curi kereta dan 13 kes pecah rumah di sekitar Lembah Klang.

Suspek kini ditahan reman bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan, 411 Kanun Keseksaan dan 414 Kanun Keseksaan, dan jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman penjara tidak kurang dari enam bulan, katanya. 

Berhubung kes pemandu teksi yang ditemui mati dengan kesan tikaman di perut dan kecederaan di kepala di tanah perkuburan Kristian di Jalan Kuari, Taman Midah di sini semalam, Mohan Singh berkata identiti mangsa belum dapat dikenal pasti.

Beliau berkata, polis mengunjungi ke alamat seperti yang tertulis pada 'call card' yang ditemui di dalam teksi mangsa tetapi kediaman tersebut tidak berpenghuni.

Mayat lelaki warga tempatan berusia lingkungan 40-an itu ditemui terbaring di tepi jalan oleh orang awam kira-kira pukul 7.30 malam manakala teksinya dijumpai kira-kira 200 meter dari tempat kejadian. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment