My Add

Friday 5 October 2012

Genneva Malaysia disiasat: BNM

 KUALA LUMPUR, JUMAAT, 05 Oktober, 2012:: Genneva Malaysia Sdn Bhd dan syarikat-syarikat yang berkaitan dengannya disiasat agensi penguatkuasa berkenaan bagi kesalahan yang disyaki, yang termasuk pengambilan deposit secara haram dan pengubahan wang haram.

Dalam satu kenyataan hari ini, Bank Negara Malaysia (BNM) berkata, kesalahan lain yang disyaki termasuk pengelakan cukai, penerangan palsu termasuk salah pernyataan, pelantikan ejen tanpa lesen dan kegagalan menyerahkan dokumen berkanun. 

Katanya, serbuan bersama dijalankan pada 1 Oktober di beberapa premis Genneva Malaysia serta di kediaman pengarah syarikat itu oleh Polis DiRaja Malaysia (PDRM), BNM, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) serta Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Ia berkata, aset dan dokumen syarikat berkenaan yang disita semasa serbuan itu akan disimpan bagi maksud memudahkan penyiasatan.

Menurut BNM, orang ramai perlu menyemak dengan pihak berkuasa yang berkaitan apabila berurusan dengan syarikat-syarikat atau individu yang menawarkan peluang perniagaan yang menarik atau perkhidmatan kewangan yang tidak dilesenkan pihak berkuasa.

Bank pusat juga menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati untuk melabur dalam skim yang tidak dikawal.

"Agensi penguatkuasa akan mengambil tindakan terhadap skim kewangan haram untuk melindungi kepentingan pelabur dan masyarakat umum," katanya
Maklumat lanjut boleh diperoleh melalui talian 1-300-88-5465. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment