My Add

Thursday 11 October 2012

Jangan malu berbahasa Melayu

SEREMBAN, RABU, 10 Oktober, 2012: Rakyat harus yakin dan tidak berasa malu untuk menggunakan bahasa Melayu dalam semua urusan harian kerana bahasa tersebut indah dan diterima dunia.

Presiden Penterjemahan dan Penulisan Kreatif Malaysia, Goh Hin San berkata, memartabatkan bahasa Melayu sebenarnya adalah tanggungjawab semua bangsa dan harus diguna pakai secara menyeluruh.

"Biarpun di pangkalnya ada Melayu, tetapi sebenarnya hak semua rakyat Malaysia dan kini diperluaskan ke merata dunia," katanya kepada Utusan Malaysia sempena pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2012 di Stadium Tertutup Nilai dekat sini hari ini.

Pelancaran bulan bahasa berkenaan disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Hin San berkata, rakyat harus tahu bahasa Melayu merupakan bahasa Austronesia yang kelima terbesar di dunia.

Sementara itu, Ketua Satu Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN), Mahaya Yassin menegaskan, program yang dijalankan itu hendaklah selaras dengan kempen yang meluas supaya dapat diterima baik seluruh rakyat.

''Cabarannya amat besar apatah lagi dengan kecanggihan teknologi maklumat dengan bahasa Melayu sentiasa berhadapan tekanan besar.

''Bahasa Melayu adalah nilai dan jati diri bangsa Malaysia yang menggambarkan peribadi sebuah bangsa yang berdaulat," katanya.

Dalam pada itu, pelatih Kem Kampung Sawah, Port Dickson, Nazura Muhammad, 22, berkata, rakyat harus berasa bangga bercakap dalam bahasa Melayu dan amat wajar bahasa itu dimartabatkan dalam apa cara sekali pun. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment