My Add

Wednesday 3 October 2012

Jenayah: PDRM mahu kurangkan perasaan takut rakyat

KUALA LUMPUR, SELASA, 02 Oktober, 2012: Polis Diraja Malaysia (PDRM) yakin Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) fasa kedua yang menyasarkan mahu mengurangkan kebimbangan masyarakat terhadap jenayah dapat mencapai matlamat setelah menerima pelbagai insentif dalam Bajet 2013.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, NKRA fasa kedua tidak lagi menumpukan perhatian hanya kepada sasaran untuk mengurangkan indeks jenayah jalanan seperti fasa pertama sebelum ini.

Beliau berkata, fasa terbaharu ini, menumpukan sasaran untuk mengurangkan perasaan takut dan bimbang orang ramai terhadap jenayah terutama di kawasan perumahan dan pusat beli-belah.

"Jadi, kita akan buktikan kepada orang ramai bahawa apa yang diumumkan dalam Bajet 2013 akan sampai kepada matlamatnya iaitu memastikan kebimbangan orang ramai terhadap keselamatan dapat dikurangkan.

"Dalam fasa kedua ini, isu penurunan indeks jenayah dan mengurangkan jenayah jalanan bukan menjadi tumpuan utama kerana tuntutan semasa memerlukan kita memberi perhatian kepada isu-isu lain seperti kes-kes berkaitan pecah rumah di kawasan perumahan dan jenayah di pusat beli-belah," katanya dalam sidang akhbar di Maktab PDRM Cheras di sini hari ini.

Hishammuddin sebelum itu merasmikan Majlis Penutupan Mesyuarat Ketua Polis Negara Bersama Pesuruhjaya Polis, Ketua Polis Negeri, Komander dan Komandan.

Turut hadir Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar dan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Menurut Hishammuddin, secara realiti, rakyat tidak akan berasa selamat selagi jenayah pecah rumah dan jenayah di pusat beli-belah tidak diberi perhatian.

Beliau berkata, keselamatan penduduk perumahan dan pemilik pusat beli-belah memang wajar diberi tumpuan dalam fasa kedua NKRA kerana insentif disalurkan kepada PDRM melalui Bajet 2013 adalah wang cukai yang dibayar oleh mereka.

"Tambahan peruntukan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebanyak 44.4 peratus dan 68.8 peratus bagi NKRA jenayah menunjukkan kerajaan serius mahu melihat sasaran NKRA fasa kedua berjaya," katanya sambil memberitahu maklumat terperinci mengenai NKRA terbaharu itu akan diumumkan dalam masa terdekat ini.

Dalam pada itu, Ismail berkata, NKRA fasa kedua merupakan satu cabaran kepada pegawai dan anggotanya.

Beliau berkata, insentif-insentif diterima dalam Bajet 2013 bagaimanapun diyakini mampu membantu pasukannya mencapai sasaran tersebut.

"Pengumuman Perdana Menteri berkenaan skim perkhidmatan polis mahu dikaji, misalnya akan menjadi motivasi kepada anggota untuk berkhidmat dengan cemerlang, selain mampu menarik minat orang ramai menceburi kerjaya polis.

"Pemberian 1,000 motosikal untuk rondaan dan tambahan anggota sukarelawan polis pula amat membantu dalam usaha mengurangkan jenayah," ujarnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment