My Add

Wednesday 3 October 2012

Kerajaan belum sedia hantar angkasawan ke bulan

KUALA LUMPUR, RABU, 03 Oktober, 2012: Kerajaan belum bersedia memberikan komitmen untuk menghantar angkasawan Malaysia yang pertama menjejakkan kaki ke bulan, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Fadilah Yusoff berkata, ini kerana misi penghantaran angkasawan ke bulan akan membabitkan kos yang tinggi.

"Kita juga perlu mengambil kira kekangan faktor teknikal dan tawaran dari kesatuan negara pelancar," katanya ketika menjawab soalan Datuk Abd Rahman Bakri (BN-Sabak Bernam), di sini.

Abd Rahman ingin tahu adakah kementerian bercadang meneruskan inisiatif menghantar angkasawan ke angkasa lepas dan komitmen untuk merealisasikan hasrat melahirkan angkasawan Malaysia pertama menjejakkan kaki di bulan.

Fadilah berkata, tumpuan dan keutamaan kini ialah menghantar angkasawan ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS), untuk tujuan menjalankan kajian saintifik.

"Kerajaan pada dasarnya, bersetuju meneruskan program angkasawan itu dan memberi keutamaan kepada misi penghantaran angkasawan ke ISS tetapi ia juga bergantung kepada tahap ekonomi negara dan kos berkait yang lain.

"Sungguhpun, buat masa ini kerajaan belum bersedia untuk merealisasikan hasrat ke bulan, Program Angkasawan Negara masih diteruskan kerana pencapaian program itu adalah sesuatu yang amat membanggakan negara," katanya.
Katanya, kerjasama kerajaan dengan negara maju dalam program angkasawan membuahkan hasil dan manfaat yang diharapkan.

Menurut beliau program itut berjaya membangunkan bidang sains angkasa negara dan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan bidang tersebut, terutamanya generasi muda.

Program Angkawasan Negara, bermula pada 2006 dan penghantaran angkasawan pertama negara dilaksanakan pada 2007 yang tercetus hasil rundingan perjanjian timbal balas antara Malaysia dan Rusia berikutan pembelian 18 jet pejuang Sukhoi untuk kegunaan Tentera Diraja Udara Diraja Malaysia.

Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha adalah angkasawan Malaysia yang pertama dihantar ke angkasa lepas. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment