My Add

Tuesday 9 October 2012

Khidmat IJN perlu diperluas, bukan sekadar rawat jantung: Tun Mahathir

 KUALA LUMPUR, SELASA, 09 Oktober, 2012:: Perkhidmatan Institut Jantung Negara (IJN) perlu diperluas dalam bidang perubatan lain dan tidak hanya menawarkan serta mengehadkan pada rawatan jantung semata-mata.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, IJN perlu memperkenal perkhidmatan baru supaya terus relevan dalam bidang perubatan dan perawatan. 

"IJN perlu diperkembangkan dengan tidak terhad pada jantung saja sebaliknya kepada anggota badan yang berkaitan seperti paru-paru, termasuk berkaitan kardiovaskular dan surgeri torasik," katanya kepada pemberita selepas Majlis Anugerah Khidmat Pekerja IJN hari ini.

Pada majlis itu, beliau menyampaikan sijil perkhidmatan kepada 112 perintis IJN sejak 1992, termasuk Ketua Pegawai Eksekutif IJN, Tan Sri Dr Robaayah Zambahari serta 45 petugas yang berkhidmat selama 10 dan lima tahun serta pesara IJN.

Dr Mahathir berkata, pencapaian IJN amat mengagumkan dan menempa sejarah perubatan negara dengan melakar nama di dalam dan luar negara.

"Saya berpuas hati dengan pencapaian IJN... banyak pencapaian dan teknik baru dipelajari serta dikembangkan... saya yakin IJN akan lebih maju pada masa akan datang.

"Saya sendiri pernah melalui pembedahan jantung di sini, dan meskipun pembedahan kali kedua itu dikatakan sukar namun saya pulih semula dan boleh aktif seperti sedia kala termasuk menunggang kuda," katanya. 

Beliau turut menasihatkan masyarakat khususnya pesara supaya kekal aktif dan mengutamakan kesihatan bagi mengelak tekanan serta gangguan kesihatan.

Dr Mahathir turut mengulas kenyataan Anggota Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua, yang menyifatkan bekas perdana menteri itu sebagai 'nyanyuk dan tidak relevan.'

"Itu hak dia lah nak kata saya nyanyuk, saya nak kata apa," katanya.

Sementara itu, mengulas kenyataan anggota seumur hidup PAS, Profesor Emeritus Datuk Dr Shahnon Ahmad, yang menyatakan parti pembangkang itu tidak lagi menepati kehendak Islam apabila bekerjasama dengan DAP, Dr Mahathir berkata Shahnon kini sedar apa yang parti itu sudah lakukan.

"Saya fikir dia dah sedar tentang apa yang PAS sedang lakukan, walaupun dia tidak sihat, saya fikir dia akhirnya rasa terpaksa untuk menyatakan pendapatnya yang sebenar," katanya.

Beliau turut menyifatkan Bajet 2013 yang dibentang Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini sebagai belanjawan yang baik dan mungkin akan menolong menambah sokongan masyarakat kepada kerajaan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment