My Add

Thursday 4 October 2012

KSN mahu ketua jabatan, agensi perkhidmatan awam pantau pegawai

IPOH: Ketua Setiausaha Negara (KSN), Datuk Seri Dr Ali Hamsa berkata ketua jabatan dan agensi perkhidmatan awam perlu turun padang untuk memantau sejauh mana keberkesanan perkhidmatan yang diberikan pegawai mereka kepada rakyat.

Beliau berkata, langkah itu juga dapat menyelami sekali gus menyelesaikan masalah yang dihadapi pegawai supaya ia tidak menjejaskan tugas mereka dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat. 

"Ketua jabatan perlu mengunjungi pejabat masing-masing dari peringkat kementerian sehingga ke akar umbi sebagai menunjukkan tanggungjawab mereka kepada pegawai untuk menegur yang mana perkhidmatan mereka (pegawai) berikan perlu diperbaiki.

"Mereka juga (ketua) perlu mengucapkan tahniah kepada pegawai yang memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat seperti yang kita tahu terdapat agensi kerajaan yang menawarkan perkhidmatan awam bertaraf dunia," katanya ketika berucap pada majlis penutupan Persidangan Suruhanjaya-Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia (SPAM) di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi SPAM, Tan Sri Mahmood Adam; Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran, Tan Sri Dr Zulkarnain Awang dan Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Perak, Datuk Kamarudzaman Mahmud.

Katanya, aktiviti turun padang ini selaras dengan konsep yang ditonjolkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang sentiasa menjalankan sesi bertemu rakyat dan patut dicontohi oleh ketua jabatan dan agensi perkhidmatan awam.

"Sebagai penjawat awam kita bukan setakat makan gaji tetapi cuba untuk memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat dengan menjalankan tugas yang baik seolah-olah kita buat sesuatu yang terbaik untuk diri kita sendiri," katanya.

Selain itu, katanya perkhidmatan awam juga perlu melaksanakan transformasi minda, memantapkan penyampaian perkhidmatan yang berorientasikan rakyat kepada semua pelanggan yang bertepatan dengan gagasan 1Malaysia "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan".

"Pelanggan sudah pasti mempunyai pelbagai kerenah...layanlah pelanggan masing-masing dengan sebaiknya dengan memastikan perkhidmatan yang disediakan sentiasa disenangi dan memuaskan hati pelanggan," katanya.

Mengulas persidangan selama empat hari itu bermula 1 Oktober lalu, beliau berkata, dalam membincangkan dan mengkaji mana-mana dasar atau peraturan yang sudah lapuk atau tidak sesuai lagi untuk digantikan atau ditambah baik, anggota SPAM perlu membuat penilaian berdasarkan justifikasi, berimpak tinggi, mempunyai nilai untuk wang serta memberi manfaat kepada rakyat dan negara. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment