My Add

Wednesday 3 October 2012

Malaysia bersedia hadapi krisis
*NAJIB Tun Razak bersalaman dengan pembentang kertas kerja,Profesor
Nigel Osborne selepas melancarkan buku berjudul Sandpipers and
Mudskippers sambil diperhatikan Azman Mokhtar (dua dari kiri)
dan Abdul Ghani Othman di Kuala Lumpur, semalam. - Utusan/
DJOHAN SHAHRIN SHAH
Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD dan NORLAILI ABD. RAHMAN
KUALA LUMPUR 2 Okt. - Urus tadbir, permodalan dan kecairan yang lebih baik membolehkan Malaysia sentiasa bersedia menghadapi kemungkinan sekiranya berlaku krisis ekonomi sekali lagi, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Mengimbau sejarah krisis ekonomi global 2008 dan krisis kewangan Asia 1997, beliau berkata, situasi yang berlaku itu telah mematangkan kerajaan dalam menguruskan ekonomi di saat-saat sukar.

Menurutnya, ketika itu perbelanjaan isi rumah dan sektor pengilangan terutama elektronik merudum, malahan turut menjejaskan pasaran komoditi.

"Risiko berlakunya krisis ekonomi tetap ada, bagaimanapun syukur kerajaan berjaya menguruskan ekonomi dengan baik dan membawanya keluar daripada krisis, sekali gus meletakkan Malaysia di kedudukan yang lebih kukuh," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penutup Forum Megatrends Khazanah di sini, hari ini.

Hadir sama bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi; Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman dan Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd., Tan Sri Azman Mokhtar.

Pada majlis tersebut, Perdana Menteri turut diberi penghormatan melancarkan buku bertajuk 'Sandpipers and Mudskippers' yang antara lain mengisahkan hidupan paya bakau di Ramsar, Iskandar Malaysia, Johor.

Dalam perkembangan lain, Najib berkata, pada tahun ini pertumbuhan ekonomi negara dijangka terus kukuh iaitu antara 4.5 peratus hingga lima peratus.

"Untuk tahun depan pula kita menjangka Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) buat pertama kali boleh melepasi RM1 trilion, kadar pengangguran rendah iaitu kurang daripada sekitar tiga peratus dan sistem perbankan yang mantap.

"Atas faktor tersebut kerajaan berjaya membentangkan bajet yang memenuhi keperluan rakyat tetapi dalam masa sama tetap bertanggungjawab terhadap kedudukan kewangan negara," ujarnya.

Menyentuh isu sama, Najib berkata, kerajaan komited mengurangkan defisit kewangan daripada 4.5 peratus kepada empat peratus tahun depan dengan sasaran jangka sederhana menjelang 2015 sebanyak tiga peratus.

"Kita komited untuk memenuhi hasrat ini dan kita juga berada dalam landasan untuk mencapai sasaran tersebut.

"Seperkara lagi Bajet 2013 bukanlah sekadar perbelanjaan kewangan untuk masa sekarang tetapi ini adalah bajet untuk masa depan," katanya. - UTUSAN
 

No comments:

Post a Comment