My Add

Friday 12 October 2012

Malaysia mahu mandat organisasi dalaman PBB dihormati

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 12 Oktober, 2012: Malaysia menggesa badan Perhimpunan Agung dan Majlis Keselamatan dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya setia menghormati mandat masing-masing selaras dengan Piagam PBB.

Ia berkata kedua-dua badan dalaman itu perlu bekerja bersama dalam perundingan dan kerjasama bagi mewujudkan hubungan kerja yang lebih harmoni.

"Pencerobohan mandat oleh satu badan terhadap mandat rakan dalaman akan menjejaskan teruk bukan sahaja fungsi badan itu sendiri tetapi juga jentera PBB secara menyeluruh," kata Senator Datuk Jaspal Singh dalam kenyataan pada sesi ke-67 Perhimpunan Agung PBB di New York, semalam.

Beliau adalah perwakilan Malaysia pada perbahasan bersama mengenai pelaksanaan resolusi PBB serta pencergasan semula Perhimpunan Agung badan dunia itu.

Dalam kenyataan yang disampaikan kepada media di sini, Jaspal juga berkata resolusi yang tidak dilaksanakan oleh Perhimpunan Agung itu terus menjadi penghalang terbesar dalam meningkatkan peranan dan keberkesanan badan dalaman berkenaan.

"Kami mengulangi bahawa tiada kelemahan Perhimpunan Agung lain yang lebih menghakis kesesuaian atau keberkesanan daripada kegagalan untuk melaksanakan resolusi," katanya.

Mengenai pencergasan semula Perhimpunan Agung, Jaspal berkata: "Kita masih gagal menangani isu sebenar mengapa perlunya Perhimpunan Agung dicergaskan semula.
"Kita tidak harus lupa bahawa perkataan kunci yang digunakan di sini ialah 'pencergasan semula' dan bukan penambahbaikan kecil kepada badan itu."

Pada perbahasan umum dalam Jawatankuasa Pertama, perwakilan Malaysia, Senator Chew Lee Giok berkata, bahawa negara Asia Tenggara akan mengemukakan draf resolusi yang akan menjadi asas untuk rundingan kepada pelucutan senjata nuklear dalam semua aspek di bawah kawalan antarabangsa yang ketat dan berkesan.


Katanya, Malaysia sedang dalam proses memperkenalkan Rang Undang-Undang Senjata Biologi yang akan memastikan keberkessanan pelaksanaan Konvensyen Senjata dan Toksin.

Chew juga menyatakan sokongan Malaysia bagi mewujudkan zon bebas semua senjata pemusnah besar-besaran di Timur Tengah.

Sementara itu, berucap bagi pihak Asean mengenai topik pencegahan jenayah dan pengawalan dadah antarabangsa, Senator Norliza Abdul Rahim dari Malaysia berkata, badan serantau itu sedang menuju ke arah pembentukan Komuniti Asean menjelang 2015 dan usaha sedang diperhebatkan bagai melindungi rantau itu daripada segala bentuk jenayah merentas sempadan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment