My Add

Sunday 7 October 2012

Najib sambut baik rangka perjanjian damai Manila-MILF

KUALA LUMPUR, AHAD, 07 Oktober, 2012: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyambut baik pengumuman rangka perjanjian damai antara kerajaan Filipina dengan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF).

Beliau berkata kedua-dua pihak telah menunjukkan hasrat mereka untuk menamatkan keganasan yang sudah berlangsung selama berdekad dan memuji usaha mereka mencapai persetujuan meskipun berbeza pendapat.

"Saya juga memberikan pujian khas kepada Presiden (Benigno) Aquino kerana komitmen beliau yang tidak berbelah-bahagi bagi mewujudkan keamanan di Filipina.

"Saya amat gembira kerana menerusi perjanjian bersejarah ini, hak maruah dan kemakmuran masa depan penduduk Bangsamoro akan dilindungi manakala pada masa yang sama, kedaulatan dan perlembagaan Filipina tetap terpelihara," katanya dalam satu kenyataan kepada Bernama.

Pengumuman berhubung rangka perjanjian itu dibuat berikutan rundingan peringkat awal antara panel perunding dari kedua-dua pihak yang diadakan di ibu negara Malaysia mulai 2 hingga 7 Okt.

"Penting bagi semua pihak untuk berpegang teguh dengan komitmen mereka dan berusaha ke arah era baru yang aman di Filipina," katanya.

Perjanjian itu, katanya, akan memastikan penduduk Bangsamoro menikmati keamanan yang sememangnya menjadi hak mereka.

"Sehubungan itu, mereka harus menghormati rakan senegara yang beragama Kristian kerana kesederhanaan merupakan cara Islam yang sebenar," katanya.

Perdana Menteri juga berkata beliau berbesar hati Malaysia dapat membantu memudahkan rundingan itu sejak 2001 dan meneraju Pasukan Pemantau Antarabangsa sejak 2004.

"Proses ini telah memperkukuh kepercayaan antara kedua-dua negara dan kita akan terus memberi sokongan bagi membantu membina kapasiti di kalangan Bangsamoro," katanya.

Najib juga berkata beliau akan terus bekerja rapat dengan Presiden Aquino bagi melaksanakan rangka perjanjian itu.

"Sebagai menghormati janji yang saya buat kepada Presiden, saya tidak sabar-sabar untuk berkunjung ke Manila bagi menyaksikan sendiri majlis menandatangani perjanjian bersejarah ini," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment