My Add

Friday 26 October 2012

Pemuda maut ditikam selepas ejek-mengejek di kedai makan

SHAH ALAM, jumaat, 26 Oktober, 2012:: Seorang pemuda maut akibat ditikam di perut manakala abangnya cedera parah dipukul dalam satu pergaduhan di sebuah kedai makan di Jalan Sungai Jati, Taman Sentosa, Klang, malam tadi.

Mangsa G Yogeswaran, 26, dan abangnya G Navindran, 25, sebelum itu dipercayai saling ejek-mengejek dan berperang mulut dengan empat lagi rakan mereka ketika masing-masing sedang minum di kedai berkenaan.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop berkata, pergaduhan berkenaan berlaku kira-kira jam 11 malam di mana pada waktu itu mangsa dan suspek dipercayai berada dalam keadaan mabuk.

"Kejadian itu bermula dengan perbuatan ejek-mengejek dan ia berlarutan dengan pergaduhan. Berikutan daripada itu Yogeswaran ditikam dengan botol kaca di bahagian perut sementara abangnya cedera di badan akibat dipukul dengan kayu," katanya.

Melihat kecederaan yang dialami dua beradik itu, rakan-rakan mereka kemudiannya bertindak melarikan diri.

"Orang awam yang melihat kejadian itu menghubungi pihak hospital dan kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah untuk menerima rawatan," katanya.

Mohamad berkata, Yogeswaran bagaimanapun disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital.

"Susulan itu, pihak hospital kemudian memaklumkan kejadian ini kepada polis kira-kira jam 1 pagi tadi dan sejurus menerima laporan, anggota kita sudah bertindak memberkas dua lelaki berusia 47 dan 25 yang disyaki terbabit dalam kes ini.

"Kedua-dua suspek ditahan di sekitar lokasi kejadian dan hasil pemeriksaan awal, polis mendapati suspek yang berusia 47 itu mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes samun," katanya.

Beliau berkata, kedua-dua suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut dan polis masih mengesan dua lagi rakan mereka yang turut terlibat dalam kes yang sama.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, katanya.
- BERNAMA

No comments:

Post a Comment