My Add

Tuesday 2 October 2012

Penduduk Bukit Gasing gagal dapat kebenaran merayu

Oleh NORLIZAH ABAS
PUTRAJAYA, SELASA, 02 Oktober, 2012: Sebanyak 108 penduduk Bukit Gasing gagal dalam usaha terakhir mereka untuk mencabar perintah Datuk Bandar Kuala Lumpur yang meluluskan projek kontroversi di lereng bukit kawasan itu selepas Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan mereka bagi mendapat kebenaran merayu.

Panel lima hakim diketuai oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md. Raus Sharif sebulat suara memutuskan demikian selepas berpuas hati bahawa persoalan undang-undang yang dibangkitkan oleh pemohon tidak memerlukan penghujahan lanjut.

Isu undang-undang yang dibangkitkan adalah sama ada Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 yang telah dipinda kepada Akta Perancangan Bandar dan Desa (Pindaan) 2001 terpakai di kawasan Kuala Lumpur.

Oleh yang demikian, mahkamah tertinggi negara mengiktiraf keputusan majoriti 2-1 oleh Mahkamah Rayuan pada 6 Mac lalu yang menolak rayuan penduduk-penduduk tersebut.

Panel tersebut bersetuju dengan penghakiman Mahkamah Rayuan bahawa pindaan Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976, yang memperuntukkan hak pendengaran awam oleh penduduk, tidak diperluaskan ke Wilayah Persekutuan.

Penduduk-penduduk memfailkan permohonan untuk semakan kehakiman pada 2008 bagi mengetepikan perintah pembangunan berhubung projek Sanctuary Ridge Bandaraya Kuala Lumpur bagi membina 70 buah banglo di kawasan seluas 15.52 hektar di Bukit Gasing. - UTUSAN


 

No comments:

Post a Comment