My Add

Tuesday 2 October 2012

Pengurangan subsidi gula untuk kebaikan rakyat bukan membebankan

KUALA LUMPUR, SELASA, 02 0ktober, 2012: Pengurangan subsidi gula sebanyak 20 sen yang berkuatkuasa Sabtu lalu bukan untuk membebankan rakyat tetapi dilakukan untuk kebaikan mereka daripada kesihatan, kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Tan Lian Hoe.

"Bila subsidi dikurangkan, rakyat boleh kurangkan sukatan pengambilan gula dan boleh amalkan pengambilan makanan serta cara hidup sihat," katanya di lobi bangunan Parlimen di sini, hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika membentangkan Belanjawan 2013 di Dewan Rakyat pada 28 September mengumumkan langkah pengurangan subsidi gula menyebabkan kenaikan 20 sen bagi sekilogram, dengan mengambil kira jumlah 2.6 juta rakyat Malaysia yang menghidap diabetes ketika ini.

Tan berkata, pengurangan subsidi gula itu juga bukan alasan untuk peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga barang.

Katanya, peniaga yang ingkar boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2010.

"Akta tersebut bertindak sebagai penghalang kepada mana-mana peniaga yang menaikkan harga secara sewenang-wenang," katanya.

Di bawah akta itu, pertubuhan yang ingkar boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000 manakala individu boleh didenda sehingga RM100,000, dipenjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000. 

Beliau berkata, rakyat boleh memainkan peranan sebagai 'mata dan telinga' kerajaan bagi memantau kenaikan harga berikutan pengurangan subsidi tersebut dengan melaporkan kepada kementerian.

"Jika berlaku kenaikan harga makanan yang tidak relevan, segeralah buat laporan kepada pihak kementerian supaya tindakan sepatutnya dapat diambil kepada peniaga terbabit," katanya.

Mengikut rekod, gula sebagai barangan kawalan telah mengalami kenaikan harga sebanyak empat kali sejak 1 Jan 2010 iaitu sebanyak 20 sen sekilogram, 25 sen sekilogram (18 Julai 2010), 20 sen sekilogram (4 Dis 2010) dan kali terakhir pada 10 Mei 2011 (20 sen sekilogram) menjadikan harga runcit RM2.30 sekilogram sehingga kini. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment