My Add

Saturday 13 October 2012

Perjanjian damai Filipina-MILF turut beri manfaat kepada Malaysia

BAGAN DATOH, SABTU, 13 Oktober, 2012:: Perjanjian damai antara kerajaan Filipina dengan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) yang akan ditandatangani pada Isnin ini bukan sahaja satu perkembangan baik untuk Filipina, sebaliknya ia turut memberi manfaat kepada Malaysia.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, berkata selepas perjanjian itu dimeterai akan wujud kawasan keamanan sekaligus membawa pembangunan di Mindanao.

Katanya perjanjian yang bakal mewujudkan suasana damai di kawasan itu akan mengurangkan kedatangan pendatang tanpa izin ke Malaysia, terutamanya di Sabah.

"Pihak tentera tidak akan lagi meletakkan anggota yang ramai di Mindanao kerana keamanan akan wujud di wilayah berkenaan.

"Di samping itu, beberapa pembangunan akan dilakukan di Mindanao bagi membangunkan sumber asli yang ada di kawasan berkenaan termasuklah pembangunan infrastruktur dan kemasukan daripada syarikat-syarikat Malaysia apabila ianya menjadi kawasan yang aman," katanya kepada pemberita selepas program tinjauan mesra di sini, hari ini.

Ahmad Zahid berkata perkembangan itu membolehkan Malaysia mengurangkan kos untuk menangani kemasukan pendatang asing ke negara ini.

"Ini secara tidak langsung akan menyelesaikan masalah politik di Sabah kerana RCI (Suruhanjaya Siasatan Diraja) yang ditubuhkan khusus untuk menyiasat masalah berkaitan pendatang asing tanpa izin Sabah akan dapat menjalankan peranannya kerana pendatang asing ini memberi masalah sosial dan politik di Sabah," katanya.

Ahmad Zahid berkata inisiatif perjanjian damai itu dimulakan oleh Datuk Seri Najib Razak ketika menjadi Menteri Pertahanan.

Perdana Menteri dijangka menyaksikan perjanjian itu ditandatangani minggu depan.

Kerajaan Filipina dan MILF baru-baru ini mencapai keputusan bersejarah untuk mengakhiri pergolakan di selatan negara itu dengan perjanjian damai awal yang menyaksikan pembentukan satu wilayah autonomi baru dikenali sebagai Bangsamoro.

Rangka Kerja Perjanjian mengenai wilayah Bangsamoro yang ditandatangani wakil Kerajaan Filipina dan pemimpin MILF di ibu negara itu, membuka jalan kepada perjanjian damai yang bakal dimeterai pada Isnin ini di Manila.

Malaysia telah membantu dalam usaha rundingan itu sejak 2001 dan menerajui Pasukan Pemantau Antarabangsa sejak 2004. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment