My Add

Tuesday 2 October 2012


Pertukaran jawatan Datuk Bandar PJ dibeku

RUWAIDA MD ZAIN
SHAH ALAM, SELASA, 02 Oktober, 2012: Pertukaran jawatan Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Mohamad Roslan Sakiman sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan) dibekukan sehingga perbincangan di antara Kerajaan Negeri dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dilaksanakan kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Menurutnya, perbincangan perlu diadakan supaya pergerakan (pertukaran kakitangan) itu dapat dilakukan dengan teratur dan tertib.

“Saya bekukan (pertukaran) dulu supaya kita akan bincang betul-betul dan mengeluarkan arahan (pengumuman). Surat (pertukaran) itu sah tetapi pertukaran belum boleh dilaksanakan,” katanya dipetik Sinar Harian

Beliau berkata, terdapat keperluan dari semasa ke semasa untuk membuat rombakan atau memindahkan kakitangan yang lama berkhidmat malah ia sebahagian daripada keperluan.

“Walaupun terdapat perbincangan tetapi ia belum sampai ke peringkat keputusan. Dalam masa satu hingga dua minggu kita akan tentukan. Buat masa ini, hujung tahun paling sukar sebab banyak perkara perlu diselesaikan. Tapi biasanya pertukaran berlaku awal tahun,” katanya.

Demikian kenyataan beliau dalam sidang media selepas merasmikan Kolokium Penyelidikan Universiti Selangor (Unisel) 2012 dan Pelancaran Unisel Researcher di Dewan Serbaguna Unisel Kampus Shah Alam di sini semalam.

Ketika ditanya sama ada beliau maklum dengan pertukaran itu Abdul Khalid berkata, beliau mengetahui mengenai perbincangan tersebut tetapi tidak tahu individu yang terlibat dalam pertukaran tersebut.

“Ada perbincangan tetapi tidak sampai ke peringkat menteri besar dan Exco Kerajaan Negeri. Maknanya untuk mengubahsuai penyusunan warga kerja kita ada bincang tetapi belum spesifik (nama yang ditukarkan).

“Ada kalanya, mereka yang sudah lama bekerja di sesuatu tempat mesti dipindahkan untuk naik pangkat. Kalau tidak kerja tersebut hanya pangkat yang ini, kalau hendak naik pangkat kena tukar kerja. Itu pun ada kita bincangkan sebab kita tidak mahu orang itu duduk di situ dan tidak dapat naik,” katanya.

Beliau berkata, buat masa ini Mohamad Ruslan masih bertugas seperti biasa di Majlis Bandaraja Petaling Jaya (MBPJ).

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan Mohamad Roslan akur dengan pertukaran tersebut di mana surat pemberitahuan mengenainya diterima pada 28 September lalu.

Bagaimanapun MBPJ dalam kenyataan rasminya membantah keputusan tersebut di bawah Seksyen 10 Akta Kerajaan Tempatan 1976 yang jelas memberi kuasa mutlak kepada Kerajaan Negeri melantik Datuk Bandar pihak berkuasa tempatan.

No comments:

Post a Comment