My Add

Thursday 4 October 2012

PM bersama rakyat bincang Bajet 2013

KUALA LUMPUR, RABU, 03 Oktober, 2012: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak malam ini meluangkan masa selama sejam untuk berinteraksi dengan rakyat di laman perkongsian video Youtube bagi membincangkan tentang Bajet 2013.

Sambil menyifatkan program itu sebagai sesuatu yang bersejarah, beliau mengakui amat seronok dan puas dapat menerima maklum balas secara langsung daripada rakyat pelbagai lapisan.

"Media sosial merupakan satu platform terbaik bagi saya untuk mendengar mesej daripada rakyat secara langsung.

"Program malam ini merupakan langkah yang akan kita teruskan dalam masa akan datang kerana melaluinya saya dapat menerima maklum balas serta reaksi rakyat tentang Bajet 2013," katanya dalam program #TanyaNajib Bajet 2013 Hangout On Air.

Program yang dikendalikan seorang personaliti televisyen, Suhaimi Sulaiman itu turut menjawab soalan-soalan daripada akaun laman sosial Facebook dan Twitter Perdana Menteri.

Lima individu bertuah diberi kesempatan berinteraksi bersama Najib melalui sidang video itu, mereka ialah Asyraf Adlan dari Shah Alam, Michael Teoh (Pulau Pinang), Prajesh Prakash (Sungai Petani), Angelica Mobur (Miri) dan Lee Yong Lik (London).

Menjawab soalan Asyraf, Perdana Menteri berkata, rasionalnya pemberian rebat RM200 untuk pembelian telefon 3G kepada golongan muda adalah tanda pengiktirafan kerajaan terhadap cita rasa golongan muda selain menggalakkan akses kepada penggunaan Internet.

''Begitu juga dengan langkah kerajaan terus memperkenalkan Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) yang mana ia bertujuan meringankan beban pelajar-pelajar di institusi pengajian tinggi.

''Saya diberitahu program BB1M sebelum ini banyak membantu mereka memandangkan harga buku untuk pengajian ada di antaranya yang agak mahal,'' katanya.

Menjawab soalan Yong Lik, Najib berkata, kerajaan sentiasa berusaha membawa pulang pakar-pakar tempatan yang bekerja di luar negara melalui Program Transformasi Ekonomi (ETP), Program Transformasi Politik (PTP) dan pelbagai dasar pembangunan seperti pembinaan MRT.

''Jika dibanding dengan negara-negara maju di luar, kos sara hidup di Malaysia adalah lebih baik dan memilih bekerja di Malaysia sepatutnya menjadi pilihan,'' ujar Perdana Menteri.

Dalam pada itu, Najib ketika menjawab soalan Prajesh memberitahu, Bajet 2013 mampu menaikkan nilai ringgit di pasaran mata wang antarabangsa kerana bajet itu memperkuatkan perkara asas ekonomi.

"Secara beransur-ansur, nilai ringgit diharap bertambah baik dengan kukuhnya perkara asas ekonomi dan mewujudkan sentimen positif," tegasnya.

Sementara itu, Najib turut melayan soalan seorang suri rumah yang dikemukakan melalui Facebook dan dibacakan oleh Suhaimi.

Suri rumah itu meminta Perdana Menteri mempertimbangkan pemberian BR1M kepada golongan suri rumah, selepas Bajet 2013 meneruskan pemberian BR1M pusingan kedua kepada golongan bujang.

Najib secara berseloroh meminta suri rumah itu berkongsi Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebanyak RM500 dengan ketua keluarga dan seluruh isi rumah.

"Apabila BR1M diberi kepada ketua isi rumah, ia meliputi seluruh ahli keluarga termasuk suri rumah juga, jadi berkongsilah," katanya.

Secara keseluruhannya pelbagai soalan dikemukakan kepada Najib antaranya tentang penurunan harga kereta import, perbelanjaan pengurusan pentadbiran negara, pengurangan subsidi gula dan projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA). - UTUSAN

No comments:

Post a Comment