My Add

Friday 26 October 2012

Polis tahan ibu bapa gadis buang bayi dalam tali air di Perlis

KANGAR, JUMAAT, 26 Oktober, 2012: Polis menahan ibu bapa gadis berusia 17 tahun yang dipercayai membuang bayi yang baru dilahirkannya ke dalam tali air kelmarin, bagi membantu siasatan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perlis Superintendan Mohd Nashir Ya berkata, pasangan suami isteri berusia lingkungan 40-an itu ditahan jam 9.47 malam tadi.

Setakat ini polis telah menahan enam orang bagi membantu siasatan kes terbabit, katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Awal pagi semalam, polis menemui mayat bayi perempuan baru dilahirkan dalam sebatang tali air di Kampung Behor Rotan Pahit, Simpang Empat selepas menerima laporan pegawai perubatan Hospital Tuanku Fauziah.

Pegawai perubatan itu membuat laporan polis selepas mengesyaki pendarahan yang dialami seorang pelajar perempuan yang dirujuk ke hospital itu pada jam 9.20 malam Rabu, disebabkan komplikasi bersalin.

Hasil siasatan, gadis itu mengakui melahirkan bayi perempuan yang kemudian dibuang ke dalam tali air terbabit.

Susulan penemuan mayat bayi itu, polis menahan empat individu termasuk teman lelaki dan abang gadis berkenaan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment