My Add

Friday 19 October 2012

Pos Malaysia keluar siri setem ‘Pakaian Seragam Posmen’

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 19 Oktober, 2012:: Pos Malaysia Berhad mengeluarkan setem dan produk filateli terbaru bertemakan 'Pakaian Seragam Posmen' sempena sambutan Hari Pos Sedunia.

Tiga reka bentuk setem khas koleksi pakaian seragam posmen dalam beberapa zaman itu akan dijual di seluruh cawangan Pos Malaysia mulai Isnin.

Ketua Bahagian Setem dan Filateli Pos Malaysia, Yasmin Ramli, berkata koleksi itu memaparkan pakaian seragam posmen mengikut perubahan zaman iaitu pada era 1950-an, 1970-an dan 1990-an sempena Hari Pos Sedunia, 9 Oktober lalu.

Beliau berkata, reka bentuk 1950-an dijual pada denominasi 60sen, manakala setem bereka bentuk 1970-an dan 1990-an masing-masing dijual pada denominasi 80sen dan RM1 setiap satu.

"Keluaran setem kali ini membolehkan kita mengimbau kembali pakaian seragam posmen pada masa lalu terutama pada awal abad ke-20 sehingga ke hari ini," katanya pada majlis previu setem berkenaan di sini, hari ini.

Yasmin berkata, siri filateli itu turut mengeluarkan folder lengkap yang boleh didapati di pejabat pos terpilih dengan harga RM62.90 setiap satu.

Sementara itu, lembaran mini yang mengandungi 2 setem bersaiz 35 x 45 milimeter (mm) dan saiz 35mm x 90mm berharga RM1 dan RM2.
"Sampul surat hari pertama juga boleh didapati di cawangan pejabat pos Malaysia seluruh negara dengan denominasi RM0.50 pada 22 Oktober ini saja," katanya.

Sejarah perkhidmatan pos di Malaysia dipercayai bermula pada 1805 di Pulau Pinang ketika pentadbiran British.

Pada 1 September 1867, Negeri-negeri Selat memperkenalkan setemnya sendiri dan pada 1934, perkhidmatan pos Negeri-negeri Melayu Bersekutu dan Negeri-negeri Selat diselaraskan berikutan penubuhan Malayan Postal Union. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment