My Add

Sunday 14 October 2012

PRU13:Mahathir ada ‘pengaruh besar’?

SALMIAH DRUHAMAD & NIZAM ZAIN
SHAH ALAM, AHAD, 14 Oktober, 2012: Karisma dan pencapaian mantap mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad antara faktor besar yang bakal menyumbang kepada kemenangan besar Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Menurut Pengarah Institut Pemikiran Tun Dr Mahathir Mohamad, Universiti Utara Malaysia, Profesor Dr. Abdul Rahman Abdul Aziz, meskipun pembabitan Dr Mahathir hanya secara tidak langsung iaitu menerusi komen-komen beliau terhadap dasar 1Malaysia yang dibawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, ia membantu memberi impak besar dalam siri kempen kerajaan dalam PRU.

“Tun adalah seorang pemimpin dunia. Di kalangan birokrat, mereka ini ada yang berbelah bahagi. Tetapi apabila Tun beri sokongan kepada Najib, mereka juga telah mengubah haluan.

“Beliau merupakan seorang ikon. Ketika beliau menjadi Perdana Menteri, beliau tidak ada pesaing,” ujar beliau.

Berhubung persoalan apakah yang mendorong pemimpin tersohor itu kerap mengeluarkan kenyataan positif dan pujian ke atas kepimpinan Najib, Rahman berkata, “Mahathir nampak ada orang yang menyambung warisannya.”

Dr Mahathir merupakan Perdana Menteri keempat sebelum digantikan oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi selepas beliau melepaskan semua jawatannya pada 2003.

Selain setuju dengan strategi politik Najib menggunakan tempoh mandat yang ada, Dr Mahathir juga memuji keterbukaan pentadbiran Najib.

"Saya mesti mengakui bahawa Najib dan pentadbirannya sangat terbuka. Apabila memerlukan konsultasi daripada sesiapa, mereka akan berbuat demikian, dan saya juga pernah memberikan pendapat beberapa kali, misalnya mengenai proses transformasi," beliau dipetik sebagai berkata.

Menurut Rahman, latar belakang politik, dasar-dasar baru yang diperkenalkan di samping sokongan terbuka Dr Mahathir terhadap Najib, yang juga Ahli Parlimen Pekan, akan berjaya meyakinkan rakyat dari segenap aspek.

“Najib harus kekal. Dengan itu, beliau akan menang besar dalam PRU13.

“Beliau sudah ada tapak yang kukuh. Kalau beliau teruskan apa yang beliau buat sekarang, pembangkang tak boleh banyak cakap,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian Online.

Ujarnya, jika Dr Mahathir sebelum ini tidak mempunyai masalah untuk memanggil pilihan raya pada bila-bila masa kerana kredibiliti dan kejayaan pemimpin itu ‘menawan impian rakyat’, Najib juga sedang menuju ke arah itu.

Sementara itu, Dekan Pusat Pengajian Antarabangsa Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, UUM, Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani mengakui pengaruh kuat Dr Mahathir bakal memberi sumbangan besar kepada kempen pilihan raya kerajaan.

“Pengaruh beliau kuat tetapi golongan muda pada hari ini memandang banyak isu meskipun banyak sumbangan Mahathir. Golongan muda sekarang mahu melihat benda baru. Bukan lagi trend mengenang jasa,” katanya.

Namun menurut Azizuddin, beliau percaya cakap-cakap Dr Mahathir mengenai pilihan raya kebelakangan ini adalah modal besar kerajaan untuk meraih kembali sokongan rakyat setelah gagal pada 2008.

"Pilihan raya kali ini disifatkan paling kritikal. Jadi inilah masa yang paling sesuai untuk gunakan apa jua cara yang ada," ujar beliau. - Sinar Harian

No comments:

Post a Comment