My Add

Thursday 11 October 2012

PTPTN tawar sistem ujrah kepada peminjam disenarai hitam

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 11 Oktober, 2012: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan menawarkan kepada peminjam yang disenarai hitam atau disaman, untuk menukar pinjaman mereka kepada sistem pinjaman Islam atau Ujrah bermula Rabu depan.

Mengumumkan demikian, Ketua Eksekutif PTPTN Agos Cholan berkata sistem Ujrah menawarkan upah satu peratus setahun atas kadar rata adalah kaedah pembiayaan berlandaskan prinsip syariah bertujuan mengurangkan beban peminjam.

Beliau berkata peminjam terbabit wajar merebut peluang tersebut memandangkan tawaran bertukar kepada sistem Ujrah dijadualkan berakhir 31 Dis ini.

"Inilah masanya peminjam yang telah disenarai hitam tampil ke mana-mana cawangan PTPTN seluruh negara untuk mengambil peluang ini," katanya kepada pemberita selepas sesi lawatan kerja PTPTN ke Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) di sini, hari ini.

"Jika sebelum ini PTPTN hanya menawarkan sistem ini kepada peminjam yang membayar secara konsisten, namun tawaran ini dibuat sebagai hadiah kepada peminjam terbabit untuk melangsaikan hutang pendidikan mereka," katanya.

Agos berkata tawaran pertukaran sistem pembayaran daripada tiga peratus kepada satu peratus ini dilihat dapat menarik kira-kira 132,800 peminjam PTPTN yang telah disenarai hitam atau disaman.

Katanya setiap peminjam yang tampil ke PTPTN akan diberikan surat tawaran yang perlu diisi dengan maklumat terkini dan diserahkan semula ke PTPTN dalam masa 90 hari dari tarikh surat tawaran diperoleh. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment