My Add

Tuesday 16 October 2012

PUNB tidak minta pinjaman, dana daripada kerajaan mulai tahun depan

KUALA LUMPUR, SELASA, 16 Oktober, 2012: Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) tidak akan memohon pinjaman atau dana daripada kerajaan mulai tahun depan, kata pengerusinya, Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata, PUNB yang mempunyai aset bernilai lebih RM1.5 bilion, berupaya menggunakan sumbernya untuk kekal mapan dan berkeuntungan.

"Kami akan membayar balik pinjaman-pinjaman itu kepada kerajaan secara berperingkat. Semenjak 1992, PUNB telah menerima pinjaman sejumlah RM800 juta," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Khairy berkata PUNB masih terbuka untuk menerima geran daripada kerajaan untuk tujuan dan inisiatif khas meningkatkan keusahawanan Bumiputera di Malaysia.

"Kita tidak patut bergantung kepada kerajaan untuk semuanya. Selepas saya mengambil alih sebagai pengerusi, saya fikir PUNB boleh memastikan kemapanannya sendiri.

"PUNB tidak diberikan peruntukan pada Belanjawan 2013 kerana kami tidak memintanya," katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melantik Khairy sebagai pengerusi PUNB pada April. 

Beliau berkata, sejak penubuhannya pada 1991, PUNB sudah memberikan pinjaman untuk membantu lebih 3,000 perniagaan di seluruh negara.

PUNB menyediakan satu rangkaian pinjaman untuk perniagaan Bumiputera, dengan tumpuan kepada pakej pembangunan usahawan bersepadu untuk membantu usahawan Bumiputera dalam sektor perusahaan kecil dan sederhana.

Pakej tersebut direka bentuk untuk membantu usahawan Bumiputera memupuk kepintaran perniagaan, mengekalkan perusahaan yang menguntungkan dan membentuk perniagaan mereka. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment