My Add

Friday 5 October 2012

Serang RAPID bukti pembangkang habis modal - Muhyiddin

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 04 Oktober, 2012: Serangan terbaharu pembangkang terhadap projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) di Pengerang, Johor selepas gagal ‘membunuh’ projek kilang memproses nadir bumi Lynas, membuktikan mereka sudah kehabisan modal untuk berdepan pilihan raya umum akan datang.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, serangan itu juga sebagai strategi politik untuk menutup pelbagai masalah yang dihadapi pembangkang khususnya melibatkan hubungan antara parti-parti dalam pakatan berkenaan.

Sambil meminta mana-mana pihak dalam pembangkang mencabar pelaksanaan RAPID mengikut saluran tertentu, tegasnya, RAPID tidak perlu dipolitikkan kerana projek berkenaan mempunyai nilai kepentingan nasional.

‘‘Saya fikir ini strategi pembangkang yang tak akan berhenti malah akan terus meningkatkan serangan terhadap kerajaan sama ada projek itu Lynas, RAPID atau lain-lain yang kita laksanakan serta mendapat sambutan baik oleh rakyat. Segalanya ini dipolitikkan.

‘‘Apabila Lynas difahami dan penerimaan rakyat adalah baik dengan kerajaan mengambil pelbagai langkah keselamatan termasuklah penglibatan pakar-pakar, sebahagian besar (rakyat) dapat terima. Tetapi pembangkang tak berhenti dan beralih kepada RAPID,’’ katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri program mesra rakyat bersama penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang, Subang, dekat sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan pembangkang yang kini mengalih perhatian menyerang projek RAPID di Pengerang selepas gagal menanam rasa benci rakyat menentang projek Lynas.

Muhyiddin berkata, apa yang menjadi masalah adalah apabila ‘orang luar’ dari Pengerang yang kononnya berhimpun di kawasan itu telah memutar belitkan pelbagai cerita sebenar mengenai RAPID.

‘‘Ada pihak yang berkata projek itu tak perlu dan yang baiknya adalah di Singapura. Semuanya di Singapura dan tak perlu buat di sini (Pengerang). Ini hujah tak munasabah. Saya jangka ini (RAPID) akan selesai. Apabila selesai (pembangkang) akan cari lain pula. Selepas ini Langat 2 (Projek Loji Rawatan Air Langat 2) pula.

‘‘Saya fikir mereka (pembangkang) ada banyak senarai (rancangan bantahan) sehingga pilihan raya. Mereka nak cari modal sedangkan mereka hadapi banyak masalah. Hubungan antara pembangkang bercelaru tetapi tunjuk macam elok,’’ tegasnya.

Mengenai dakwaan pembangkang bahawa RAPID merupakan helah Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman untuk ‘merampas’ tanah, katanya, ia tertakluk kepada kuasa negeri untuk mengambil tanah bagi memberi laluan kepada pelaksanaan RAPID.

‘‘Kalau pihak mereka nak cabar, boleh cabar. Projek ini ada status nasional dan ia di bawah Petronas. Keuntungan berbilion ringgit nanti akan dicurah balik untuk kepentingan rakyat. RAPID dilaksanakan bukan atas dasar keuntungan sendiri sahaja tetapi ada faedah nasional. Tentu perkara tersebut memerlukan pengorbanan," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment