My Add

Saturday 13 October 2012

Sindiket salah guna gas subsidi tumpas, 11 ditahan

KLANG, SABTU, 13 Oktober, 2012: Operasi membanteras sindiket menyalahguna gas domestik bersubsidi disalur untuk kegunaan industri berjaya ditumpaskan di sini awal hari ini dengan nilai rampasan hampir RM500,000 dan menahan 11 lelaki.

Serbuan pihak Pejabat Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur itu menemui sebuah lori treler dan lori tangki di sebuah gudang di Jalan Sellathevan, Kampung Jawa, Batu 4 di sini, yang dijadikan pusat kegiatan sindiket itu.

Timbalan Pengarah PPDNKK Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Mohd Mokhtar Yeop, berkata lelaki yang ditahan itu, termasuklah seorang warga tempatan berumur 20an dipercayai penyelia di premis seluas 1.2 hektar itu.

Katanya, dalam operasi 12 jam, dari 6 petang semalam hingga awal pagi ini, pihaknya menemui 2,100 tong gas asli cecair (LPG) bersubsidi kegunaan domestik yang isinya sedang dipindahkan untuk kegunaan industri.

"Ini kali kedua sindiket ini diserbu membabitkan kesalahan sama di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 yang jika sabit kesalahan, boleh dihukum denda RM100,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya bagi individu manakala bagi syarikat boleh didenda RM250,000," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Mohd Mokhtar berkata semasa diserbu kesemua pekerja terbabit sedang sibuk melakukan kerja memindahkan gas LPG dari tong 14kg dan 16kg ke dalam lori tangki yang diletakkan di belakang premis.

Beliau berkata pasukan yang membuat serbuan terpaksa memotong kunci dua pagar yang terletak kira-kira 100 meter dan 50 meter dari pusat kegiatan pemindahan gas itu yang dikawal dua anjing. 

Mohd Mokhtar berkata siasatan awal mendapati sindiket itu dipercayai mendapat bekalan gas bersubsidi itu daripada pemborong berlesen di sekitar Lembah Klang untuk dijual kepada beberapa pihak industri yang menjadi pelanggan tetap mereka.

Beliau berkata kegiatan haram premis berkenaan mendatangkan risiko tinggi kerana boleh menyebabkan kebakaran besar kerana saluran gas yang digunakan untuk memindahkan cecair berkenaan tidak mengikut spesifikasi yang selamat.

Tinjauan di premis itu terhidu bau gas LPG yang kuat yang dapat dikesan 10 meter daripada lokasi kegiatan haram berkenaan yang juga menempatkan beberapa kontena rumah pekerja.

Mohd Mokhtar berkata semua 10 warga asing itu akan diserahkan kepada pihak imigresen, dan penyelia warga tempatan berkenaan ditahan untuk siasatan lanjut manakala semua tong gas yang dirampas dibawa ke Stor Pusat KPDNKK Nilai, Negeri Sembilan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment