My Add

Saturday 6 October 2012

Sultan Pahang seru mahasiswa serlah nilai keperibadian mulia

KUALA LUMPUR, SABTU, 06 Oktober, 2012: Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah meminta golongan mahasiswa memupuk nilai keperibadian mulia dalam diri masing-masing dan menyerlahkannya kepada masyarakat.

Pengerusi Lembaga Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu bertitah manusia yang gagal melihat kepentingan memupuk aspek personaliti ini akan memberi impak negatif kepada masyarakat berikutan kekurangan kesedaran terhadap kepentingan tersebut dalam kehidupan mereka. 

"Sebagai Khalifah di muka bumi, kita perlu menggunakan ilmu pengetahuan yang diperoleh untuk mewujudkan hubungan baik serta menyumbangkan jasa kepada masyarakat dan negara berdasarkan nilai-nilai keperibadian mulia dalam diri kita," titah baginda pada konvokesyen ke-28 universiti itu di Gombak hari ini.

Sultan Ahmad Shah turut berkenan merasmikan logo baru sambutan ulang tahun ke-30 UIAM, yang disambut mengikut kalendar Islam (1403 Hijrah-1433 Hijrah).

Pada majlis itu, Muhammad Fadhlullah Sharuddin, 23, graduan orang kelainan upaya (OKU) dari Kuliyyah Teknologi Informasi dan Komunikasi serta memperoleh Timbunan Purata Nilaian Gred (CGPA) 3.454 menerima Anugerah Pencapaian Istimewa, yang disampaikan baginda.

Anggota badan lebih rendah dan terkena jangkitan virus pada lutut kanan sejak 2005 akibat penyakit Talasemia menyebabkan beliau cepat letih dan sukar berjalan.

Muhammad Fadhlullah, yang mempunyai lima adik-beradik dengan dua daripada mereka turut menghidap penyakit sama, berkata kecacatan bukan penghalang untuk beliau berjaya.
Beliau berkata, setiap insan di dunia ini berhak mengecapi kejayaan, termasuk OKU.

"Jangan jadikan kecacatan sebagai penghalang untuk berjaya. Kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pun sentiasa berusaha meningkatkan kualiti kehidupan rakyat Malaysia, termasuk golongan OKU," katanya.

Seramai 4,578 graduan menerima ijazah masing-masing pada konvokesyen yang berlangsung tiga hari dan berakhir Isnin ini. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment