My Add

Wednesday 10 October 2012

Tabung Haji salur subsidi haji RM125 juta tahun ini: Jamil Khir

KUALA LUMPUR, RABU, 10 Oktober, 2012:: Lembaga Tabung Haji menyalurkan subsidi berjumlah RM125 juta untuk jemaah haji Malaysia bagi musim haji kali ini berbanding kira-kira RM100 juta tahun lalu, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom hari ini.

Beliau berkata, kos subsidi yang ditanggung ialah lebih RM5,000 bagi setiap jemaah muassassah yang mengerjakan haji untuk kali pertama. 

Jamil Khir menarik perhatian bahawa Malaysia adalah antara negara yang mengenakan kos mengerjakan haji paling murah berbanding negara serantau.

"Kalau dibuat perbandingan, Brunei mengenakan kos sekitar RM18,000, Singapura juga sekitar RM18,000, Indonesia pula berbeza mengikut tempat, kalau di Jakarta kosnya sekitar RM15,000.

"Di Thailand, ia sekitar RM16,000 ke RM18,000," katanya menjawab soalan Datuk Ismail Mohamed Said (BN-Kuala Krau) di Dewan Rakyat mengenai perbezaan caj haji untuk jemaah Malaysia berbanding negara-negara jiran.

Jamil Khir berkata, kos haji untuk setiap jemaah muassassah Malaysia bagi tempoh kira-kira 40 hari termasuk tiket penerbangan pergi dan balik ke tanah suci, penginapan, makanan dan lain-lain adalah RM9,980 berbanding kos sebenar RM15,150.

Menjawab soalan Salahuddin Ayub (PAS-Kubang Kerian), beliau berkata, pembinaan sebuah kompleks baru bagi menggantikan Kompleks Tabung Haji di Kelana Jaya sudah dimulakan berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur(KLIA). 

"Dulu, ia (kompleks di Kelana Jaya) dibina kerana dekat dengan lapangan terbang Subang, dan memandangkan lapangan terbang berpindah ke Sepang, maka kita mulakan projek untuk siapkan bangunan baharu itu," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment