My Add

Thursday 18 October 2012

Tiada cadangan mansuh elaun pedalaman guru: Puad Zarkashi

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 18 Oktober, 2012:: Kerajaan tidak bercadang untuk memansuh elaun pedalaman bagi guru-guru yang berkhidmat di kawasan pedalaman, Dewan Rakyat diberitahu, hari ini.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, pemberian elaun tersebut masih diteruskan walaupun ada kawasan yang sudah mempunyai banyak kemudahan dan infrastruktur yang baik. 

"Tiada perancangan hapuskan elaun pedalaman sama ada P1, P2 atau P3 walaupun kita sedar ada tempat-tempat contohnya P1 yang sudah ada kemudahan seperti jalan raya. Mereka masih terima elaun dan sebenarnya tiada pun ura-ura untuk hapuskan (pemberian elaun) kerana kita ada banyak sekolah di pedalaman," katanya menjawab soalan Datuk Raime Unggi (BN-Tenom).

Ketika ini, guru yang bertugas di kawasan pedalaman P1 menerima elaun khas RM500 sebulan, P2 mendapat RM1,000, manakala P3 dibayar RM1,500.

Terdahulu, Mohd Puad berkata, sehingga 30 Sept lepas, seramai 31,165 orang daripada 34,952 guru yang berasal dari Sabah sedang berkhidmat di negeri tersebut manakala bakinya seramai 3,787 orang bertugas di Semenanjung.

Katanya, daripada jumlah itu, seramai 20,286 orang guru bertugas di Sekolah Rendah dan 10,879 di Sekolah Menengah di seluruh Sabah.

"Guru itu ditempatkan di seluruh Sabah mengikut keperluan opsyen dan perkhidmatan sama ada di bandar, luar bandar dan pedalaman," katanya.
Selain itu, Mohd Puad berkata, seramai 191 daripada 214 Pengetua sekolah di Sabah adalah anak tempatan.

"Daripada 1,070 Guru Besar Sekolah Rendah pula, 968 adalah anak Sabah. Kita lihat kemampuan dan keupayaan guru di Sabah termasuk Sarawak untuk bertugas di tempat mereka adalah memberangsangkan," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment