My Add

Wednesday 3 October 2012

Tiga suspek tembak polis dipercayai terlibat edar dadah

KUALA LUMPUR, RABU, 03 Oktober, 2012: Tiga penjenayah yang terlibat dalam insiden berbalas tembak sehingga mencederakan dua anggota polis peronda di Jalan Kuchai Lama di sini Rabu lepas, dipercayai terbabit dalam pengedaran dadah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah berkata walaupun kes itu dianggap selesai selepas suspek terakhir menyerah diri semalam, polis masih menyiasat sama ada kumpulan itu mempunyai anggota lain.

Berdasarkan siasatan awal ke atas dua suspek yang menyerah diri semalam dan pada Isnin, polis merumuskan mereka terbabit pengedaran dadah.

"Malah, ujian air kencing ke atas suspek yang menyerah diri semalam juga mendapati dia positif dadah dan kita percaya ketiga-tiga mereka juga saling mengenali," katanya kepada pemberita pada sidang media, di sini hari ini.

Suspek berusia 30 tahun dari Mentakab, Pahang itu menyerah diri di Balai Polis Sri Serdang pukul 9 malam tadi. Pada Isnin lepas, suspek kedua yang merupakan remaja berusia 17 tahun menyerah diri di Balai Polis Kepong.

Seorang daripada mereka ditembak mati dalam kejadian berbalas tembak dengan polis di Taman Desa Waterpark di sini awal pagi Ahad.

Mengulas lanjut, Ku turut mengesahkan senjata api yang ditemui di dalam kereta suspek selepas kejadian di Taman Desa Waterpark itu adalah senjata yang digunakan ketika menembak dua anggota polis pada Rabu lepas.

Dalam kejadian pukul 6.45 petang itu, Koperal R. Subramaniam, 52, cedera di bahagian perut manakala Koperal Nor Azlan Abu Bakar, 41, cedera di leher akibat tembakan yang dipercayai dilepaskan oleh tiga suspek yang menaiki sebuah kereta di persimpangan lampu isyarat berdekatan Kuchai Lama di sini. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment