My Add

Saturday 27 October 2012

Tindakan tegas jika sewa gerai kepada peniaga asing: DBKL

KUALA LUMPUR, sabtu, 27 oKTOBER, 2012:: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan bertindak tegas terhadap peniaga tempatan yang didapati menyewakan gerai kepada warga asing dalam usaha mengekang kebanjiran peniaga asing di ibu kota.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ahmad Phesal Talib, berkata ini kerana masalah itu berpunca daripada sikap peniaga tempatan sendiri yang mahu meraih pendapatan mudah dengan mengenakan kadar sewa tinggi kepada warga asing.

"Mereka tahu warga asing akan tetap bayar biarpun mahal. Ini menunjukkan sikap tidak bertanggungjawab penjaja tempatan terhadap lesen yang kita berikan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis ibadah korban Masjid Negara, di sini hari ini.

Untuk itu, Ahmad Phesal berkata DBKL dengan kerjasama polis dan imigresen akan bertindak lebih agresif mengesan peniaga asing di sekitar ibu kota khususnya di Pasar Jalan Raja Bot di Chow Kit.

DBKL akan membatalkan lesen peniaga tempatan terbabit serta menyita lot gerai berkenaan jika didapati disewakan kepada warga asing, katanya.

Ahmad Phesal turut menegaskan projek pembangunan semula Pasar Jalan Raja Bot tidak menjanjikan penyelesaian kepada isu peniaga asing selagi orang tempatan terus membuka peluang kepada warga asing untuk berniaga.

Mula beroperasi pada 1955, pasar itu menempatkan lebih 1,500 peniaga yang menjual pelbagai barangan keperluan harian seperti sayur, buah-buahan, pelbagai jenis daging selain menjual pakaian dan makanan.

Dalam pada itu, Ahmad Phesal berkata 2,000 unit gerai pelbagai kategori akan dibina di bawah pembangunan semula Pasar Jalan Raja Bot.

Pelannya dimuktamadkan baru-baru ini dan pembinaan dijangka bermula awal tahun depan serta siap pada 2017.

Pada majlis itu beliau turut melepaskan konvoi 10 kenderaan membawa daging korban untuk diagih ke rumah kebajikan dan perkampungan Orang Asli sekitar Selangor. Konvoi turut membawa lembu untuk majlis korban di lokasi berkenaan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment