My Add

Friday 12 October 2012

Tukang cuci, remaja didakwa rompak juruhebah radio

Oleh AZIZI MAJID
JOHOR BAHRU, JUMAAT, 12 Oktober, 2012: Seorang tukang cuci dan remaja berusia 17 tahun masing-masing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan merompak seorang juruhebah radio Best 104 dengan bersenjatakan pisau, bulan lalu.

Muhamat Arafi Amin Wong, 21, dari Saleng, Kulaijaya dan remaja dari Senai, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan kepada mereka di hadapan Hakim Hassan Abdul Ghani.

Mengikut pertuduhan, kedua-duanya bersama beberapa lagi yang masih bebas didakwa melakukan rompakan berkumpulan dengan bersenjatakan pisau terhadap Julie Diana Omar Shariff.

Dalam kejadian itu, mereka didakwa merampas dua utas rantai leher, sebentuk cincin, sepasang anting-anting, wang tunai RM6,000 milik mangsa yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM10,000.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di nombor 53, Jalan Kasim Nor, Kampung Sungai Danga, Taman Perling di sini kira-kira pukul 1 pagi, 29 September lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Hassan membenarkan Muhamat Arafi diikat jamin sebanyak RM10,000, manakala remaja berkenaan sebanyak RM5,000, masing-masing dengan seorang penjamin.

Beliau menetapkan sebutan semula kes pada 24 Oktober ini bagi membolehkan kedua-dua tertuduh melantik peguam bela masing-masing. -UTUSAN

No comments:

Post a Comment