My Add

Tuesday 13 November 2012

Azman lepas jawatan pengurus Kelantan, Mat Yo dibenar ke Johor

KOTA BHARU, SELASA, 13 November, 2012:: Desas-desus mengatakan Azman Ibrahim akan berundur sebagai pengurus pasukan The Red Warriors pada musim hadapan akhirnya terjawab apabila beliau sendiri mengesahkan peletakan jawatannya itu.

Azman yang menjadi pengurus pasukan bola sepak Kelantan sejak 2005 berkata, ia masa yang tepat untuk beliau berundur selepas Kelantan berjaya menggondol kejayaan treble dengan menyapu bersih ketiga-tiga piala dalam saingan Liga Super, FA dan Piala Malaysia musim ini walaupun Kelantan pada suatu ketika dahulu pernah bermain di Liga FAM.

"Saya ambil pasukan ini bersama Datuk Ahmad Jazlan Yaacob (ketika itu Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan) pada 2005 bila Kelantan jatuh ke Liga FAM yang mana tidak ramai yang berminat untuk menguruskan pasukan ini dan kembali ke Liga Perdana pada tahun berikutnya.

"Saya bersyukur dapat bersama Kelantan dalam saat kegemilangan dan harap The Red Warriors lebih berjaya pada masa hadapan. Saya percaya Bojan (Hodak) boleh lakukan tugas sebagai pengurus walaupun pada masa yang sama menjadi jurulatih," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat berkaitan perarakan tiga piala itu, di sini, hari ini.

Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa dalam laman sosial Facebooknya dipetik sebagai berkata, KAFA membuat keputusan untuk melantik Bojan Hodak sebagai Ketua Jurulatih dan Pengurus Pasukan selepas Azman yang juga Setiausaha Agung persatuan itu memohon untuk tidak menjadi pengurus pasukan pada musim 2013.

Bagaimanapun Azman masih kekal sebagai Setiausaha Agung KAFA.

Ketika ditanya sebab-sebab pengunduran beliau daripada pengurusan pasukan, Azman berkata beliau ingin memberikan peluang kepada orang baru supaya Kelantan dapat diuruskan dengan lebih baik. 

"(Pengunduran) ini sudah lama saya fikirkan, tapi seboleh-bolehnya saya pun nak beri peluang kepada orang lain kerana bila terlampau lama akan banyak perkara yang boleh berlaku.

"Usia saya pun sudah meningkat. Daripada segi tekanan dan beban kerja, saya rasa saya harus lepaskan secara beransur-ansur," katanya.

Sementara itu, Naib Presiden KAFA, Datuk Rosmadi Ismail berkata, penyerang Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha yang lebih dikenali sebagai Mat Yo akan dilepaskan kepada Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) jika persatuan itu bersetuju dengan syarat KAFA.

"Jawatankuasa Pengurusan bersetuju untuk menyerahkan urusan pemindahan Mat Yo (Norshahrul) kepada Tan Sri (Annuar Musa). Beliau akan guna budi bicara dan pandangan dia dalam menentukan kedudukan Mat Yo.

"Selain itu, kita sudah hantar surat tawaran kepada PBNJ dan terserah kepada mereka untuk membuat keputusan sama ada setuju atau tidak dengan tawaran yang kita tetapkan," katanya.

Beliau enggan menyatakan syarat-syarat itu.

Perpindahan Mat Yo, pemain paling bernilai untuk tiga tahun berturut-turut itu, mencipta polemik apabila timbul khabar angin mengatakan PBNJ sanggup membayar yuran perpindahan sebanyak RM1 juta kepada KAFA bagi membolehkan Mat Yo beraksi bersama pasukan Johor pada musim hadapan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment