My Add

Saturday 17 November 2012

Dr Mahathir bangga pencapaian IJN

KOTA KINABALU, SABTU, 17 November, 2012: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata negara bertuah kerana memiliki Institut Jantung Negara (IJN) yang berjaya menyumbang perkhidmatan kesihatan yang semakin diterima masyarakat luar yang pencapaiannya berupaya meningkat imej negara di peringkat antarabangsa.

Beliau berkata IJN yang meraikan ulang tahun ke-20 penubuhannya September lalu semakin relevan dalam bidang perubatan dan perawatan dengan dilengkapi pelbagai peralatan terkini setanding dengan di negara luar.

"Pencapaian IJN boleh dibanggakan kerana kemudahannya yang setaraf negara luar dan kita harus berbangga dengan kebolehan yang kita ada dan alat yang digunakan sama seperti negara maju lain," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada kongres tahunan ke-22 Persatuan Pakar Bedah Torasik dan Kardiovaskular Asia (ATCSA) di sini hari ini.

Kongres dirasmikan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman.

Dr Mahathir yang juga mengilhamkan penubuhan IJN berkata banyak teknologi baru yang diterokai IJN sepanjang 20 tahun ia bertapak di dunia perubatan negara termasuk pakar-pakar jantung dan unit bedah jantung yang terdapat hampir di seluruh negara.

Beliau berkata IJN turut menjadi rebutan kalangan doktor pelatih Asean seperti Vietnam, Indonesia, Brunei serta negara lain seperti Jepun, Sudan, Yaman dan Pakistan bagi mempelajari kemahiran selain menampung kekurangan pakar di negara mereka.

Beliau turut berkata beliau menjalani pembedahan jantung di IJN sebanyak dua kali pada usia 69 tahun dan 82 tahun, bagi memberi contoh selaku pemimpin tentang kepercayaan beliau terhadap keupayaan IJN. 

"Saya amat berbangga, dulu IJN cuma ada bilik pembedahan biasa yang digunakan untuk pembedahan jantung dan tidak sesuai. Tetapi kini IJN sudah semakin maju," katanya.

Sementara itu, Perunding Pakar Bedah Kardiotorasik IJN yang juga Presiden ATCSA, Dr Mohamed Ezani Md Taib berkata IJN menjalankan 4,000 pembedahan jantung setahun selain menerima pesakit luar seramai 130,000 orang dan mengadakan kira-kira 10,000 prosedur rawatan kardiologi.

Beliau berkata IJN merupakan institut perubatan pertama di Asia yang memperkenalkan pelbagai peralatan cangih selain memperkenalkan alat sokongan jantung mekanikal terbaru. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment