My Add

Wednesday 28 November 2012

Hamas terima kasih kepada Najib kerana beri sokongan

KUALA LUMPUR, SELASA, 27 November, 2012: Hamas menyuarakan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kerana sokongan padu beliau terhadap penduduk Palestin dan perjuangan mereka.

Bercakap kepada Bernama selepas mengadakan pertemuan dengan Najib hari ini, ketua hubungan antarabangsa Hamas Usamah Hamdan berkata beliau memperjelaskan kepada pemimpin Malaysia itu mengenai serangan terbaru ke atas Gaza oleh Israel dan aturan gencatan senjata yang menyusulinya.

"Kami berterima kasih atas usaha dan pendirian beliau terhadap serangan Israel, dan mengutuk tindakan itu sejak dari mula lagi," katanya.

Pada aspek politik, beliau menyambut baik gesaan Najib kepada pemimpin antarabangsa supaya membantu menghentikan serangan Israel ke atas Semenanjung Gaza yang dikepung, satu wilayah yang dihuni kira-kira 1.6 juta penduduk dan disifatkan sebagai antara wilayah paling padat penduduk di dunia.

Usamah berkata Najib memaklumkan kepadanya bahawa Malaysia akan terus menyokong perjuangan dan perpaduan penduduk Palestin.

"Beliau menyatakan dengan jelas peri pentingnya perpaduan ini, “ kata pegawai Hamas itu.

Usamah berada di ibu negara Malaysia untuk menghadiri forum antarabangsa selama dua hari mengenai konflik dan perdamaian yang diadakan sempena Perhimpunan Agung UMNO 2012.

Diiringi oleh Pengerusi Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia Muslim Abu Umar, pertemuan Usama dengan Najib berlangsung kira-kira 20 minit.

Lebih 150 penduduk Palestin terkorban dalam konflik lapan hari antara Israel dan pergerakan Hamas di Gaza sebelum perdamaian sementara yang diusahakan oleh Mesir, dengan kerjasama Amerika Syarikat, menghentikan pencerobohan Israel ke atas Gaza.

Perdana menteri turut bertemu Kuasa Usaha dari kedutaan Qatar, Rashid M.Al-Mulla. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment