KOTA BHARU, KHAMIS, 22 November, 2012: Istana Kelantan mengesan perbuatan pihak tertentu yang menyamar sebagai Kerabat Diraja Kelantan dan cuba menipu orang ramai dengan mendakwa boleh mendapatkan pingat dan darjah kebesaran Negeri Kelantan.
Ketua Istiadat Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad, berkata pengurniaan pingat dan darjah kebesaran itu dijual dengan harga mencecah hingga RM200,000.
Beliau berkata, penjualan pingat dan darjah kebesaran berkenaan bercanggah dengan Fasal (1) Perkara 43 Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian Kedua) yang menyatakan hanya Sultan Kelantan yang berhak mengurniakan gelaran dan darjah kebesaran kepada individu yang layak.
"Tiada mana-mana orang atau individu boleh mengurniakan Darjah-darjah Kebesaran Negeri. Pihak yang menganjurkan majlis itu sudah melanggar Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kelantan.
"Saya ingin tegaskan tidak ada mana-mana pihak diberi autoriti oleh Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V untuk pengurniaan Darjah Kebesaran dan membabitkan bayaran kewangan," katanya pada sidang media di Istana Balai Besar di sini, hari ini.
Abdul Halim berkata, penjualan darjah kebesaran kepada individu dari dalam dan luar Kelantan ini mula dikesan pada akhir tahun lalu dan Istana Kelantan sudah membuat beberapa laporan polis mengenainya.
Beliau berkata, ada pihak tertentu mendakwa dirinya adalah kerabat Diraja Kelantan dan sudah mengurniakan pingat kepada beberapa individu termasuk dari Sarawak dan Kuala Lumpur.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan rakyat Kelantan atau dari luar negeri ini supaya tidak terpedaya dengan kegiatan untuk menganjur atau menerima pengurniaan daripada mana-mana pihak selain daripada Istana Kelantan sendiri.
"Kami juga menasihatkan individu yang menerima darjah kebesaran (secara tidak sah) supaya menyerahkannya kepada pihak berkuasa.
"Saya sangat dukacita dengan pihak-pihak tertentu yang masih tidak serik dengan tindakan yang dikenakan dan masih terus menawarkan darjah dan pingat kebesaran secara tidak sah dan menipu individu tertentu," katanya. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment